T-shirt Pok Ya Cong Codei laris

TEMPIAS fenomena Pok Ya Cong Codei turut dirasai di daerah ini apabila baju t-shirt eksklusif berdasarkan judul telefilem itu dapat sambutan luar biasa sejak mula dijual, di sini, beberapa hari lalu.


Pengedar sah daerah ini, Muhammad Azhar Zamiri Mamat berkata, lebih 200 t-shirt keluaran syarikat produksi, Balang Rimbun bersama pengarah dan pelakon utama telefilem itu, Sabri Yunus berjaya dijualnya dalam tempoh tiga hari.


Katanya, sambutan luar biasa itu menyebabkan dia berdepan kekurangan stok kerana baju tersebut turut diedarkan dan mendapat permintaan tinggi di seluruh negara.


"Kilang tak mampu nak cetak banyak sekali gus, jadi saya dan pelanggan yang buat tempahan terpaksa tunggu stok sampai secara berperingkat.


"Sambutan memang luar biasa dan t-shirt laku macam 'pisang goreng panas'. Saya tak sangka pengaruh dan fenomena Pok Ya Cong Codei sampai begini sekali," katanya, di sini, hari ini.


Menurutnya, baju t-shirt itu dijual pada harga promosi RM25 untuk lengan pendek dan RM29 untuk lengan panjang.


"Sejumlah hasil jualan bagi setiap pembelian t-shirt ini akan disumbangkan kepada tabung wakaf bumbung Masjid Eh Chu di selatan Thailand," katanya.


Sumber : Sinar Harian


No comments