Ratu cantik Filipina dakwa dua anak diganggu di taman tema Subang Jaya


KUALA LUMPUR 16 Feb. - Ratu cantik Filipina, Ruffa Gutierrez mendakwa dua anak perempuannya diganggu sekumpulan lelaki ketika mengunjungi sebuah taman tema di Subang Jaya, dekat sini semalam.


Memetik laporan ABS-CBN News Manila menerusi portal Malay Mail, Gutierrez mendakwa kumpulan lelaki tersebut bukan sahaja mengganggu dua anak remajanya, Lorin Gabriella, 15 dan Venice Bektas, 14, dengan panggilan serta perbuatan kurang sopan, malah turut merakam gambar mereka menggunakan telefon bimbit.


"Ketika kejadian, saya dan rakan pergi membeli makanan, manakala dua anak saya pergi bermain roller-coaster. "Tiba-tiba kedua-dua anak saya datang dalam keadaan menangis dan memberitahu diganggu beberapa lelaki tua yang turut merakam gambar mereka," terangnya dalam laman Instagram miliknya.



Gutierrez memberitahu, mereka terpaksa meminta bantuan pengawal keselamatan taman tema tersebut untuk pergi ke kenderaan mereka kerana bimbang kumpulan lelaki akan terus mengganggu mereka. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari ketika dihubungi mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis mengenai insiden berkenaan.


Sumber : Utusan

No comments