Sharnaaz Ahmad doa isteri dan bayi dalam kandungan sihat


KUALA LUMPUR 15 Feb. - Aktor popular, Sharnaaz Ahmad, 33, bersyukur ke hadrat Ilahi apabila mengetahui keadaan isterinya, Noornabila Mohd. Noor atau Nabila, 33, dan bayi berusia tiga bulan yang masih di dalam kandungan sihat walafiat.


Berkata kepada Utusan Online, Sharnaaz mendedahkan bahawa berita tentang kehamilan Nabila diketahui sewaktu kandungan memasuki usia tiga minggu dan membuat keputusan untuk merahsiakannya daripada pengetahuan umum.


“Sebenarnya kami sudah tahu lebih awal tetapi mendiamkan dahulu berita gembira ini agar kesihatan Nabila dan bayi tidak terganggu. “Alhamdulillah, kini kandungan Nabila semakin kuat dan stabil dan kerana itulah kami bersedia untuk mengumumkannya kepada semua. “Sepanjang tempoh tiga bulan ini, Nabila juga tidak menunjukkan perubahan ketara terhadap kelakuannya. Dia juga tidak mengidam untuk makan makanan yang aneh-aneh, malah semuanya masih normal,” katanya ketika dihubungi.



Pasangan itu menerusi laman sosial masing-masing turut berkongsi berita gembira tersebut dengan memuat naik imej imbasan bayi mereka. Pelakon drama Suamiku Encik Sotong itu juga memberitahu, isterinya tidak mengalami sebarang bentuk alahan atau alergi yang luar biasa cuma sesekali Nabila ada mengadu cepat berasa letih.


Berbicara lebih lanjut, anak kelahiran Pulau Pinang itu berharap agar isteri dan bayinya terus dikurniakan kesihatan tahap terbaik sehinggalah tiba waktu Nabila bersalin yang dijangkakan pada Ogos tahun ini.


“Kami tidak pernah berbual serius mengenai jantina anak sulung yang diinginkan, asalkan bayi itu sihat serta cukup sifatnya, sudah memadai. “Kurniaan cahaya mata itu adalah anugerah terindah daripada-Nya. Jadi, kami terima sahaja sama ada bayi lelaki atau perempuan,” ujar Sharnaaz yang juga abang ipar kepada personaliti popular, Neelofa itu. Sharnaaz dan Nabila melangsungkan pernikahan pada 31 Mac lalu.


Sumber : Utusan

No comments