Adakah ini SUV Perodua Kembara generasi baharu?

Kami sangat yakin ramai yang percaya rekaan 3D ini adalah model SUV Perodua Kembara baharu kan? Jika dilihat kualiti rekaan dan hasil kemasan 3D ini memang sangat profesional dan dihasilkan oleh individu yang berbakat dan mempunyai kepakaran tahap tinggi dalam imej janaan 3 dimensi. Yang pasti kami boleh sahkan ianya bukan dikeluarkan atau dibocorkan oleh Studio Rekabentuk Perodua sebab nak dapatkan foto intipan pun payah.


Imej 3D Proton Perodua Kembara generasi baharu ini sebenarnya merupakan karya terbaharu oleh Idiyaz Baharuddin yang merupakan Lead 3D Artist di Glue Studios Sdn. Bhd, pengeluar siri animasi Rimba Racer. Rekaan ini dibuat dengan menjadikan Toyota Rush 2018 dan Daihatsu Terios 2018 sebagai model asas dan diolah semula dengan gaya rekaan Perodua.


Kami amat tertarik dengan rekaan bahagian hadapan yang nampak lebih moden dan elegan dengan penerapan rekaan jeriji palang berkembar yang diinspirasikan dari model Axia facelift. Rekaan lampunya persis model Proton Iriz dan Perdana yang berbentuk bujur memanjang dan sedikit berlekuk. Bumparnya pula masih mempunyai unsur rekaan bampar Toyota Rush 2018 dan Daihatsu Terios 2018 terutama di kiri dan kanan yang menempatkan lampu kabus yang berbentuk memanjang.


Di bahagian sisi pula juga mengalami perubahan terutama pada bentuk cermin pada tiang-C dan lekuk pada pintu. Perodua Kembara versi Idiyaz ini nampak lebih maskulin berbanding Toyota Rush 2018 dan Daihatsu Terios 2018. Beralih ke belakang pula, Kembara mempunyai lampu yang lebih memanjang dan tirus, sekali imbas seakan gabungan lampu Maza CX5 dan Honda BR-V.


Kami menjangkakan SUV Perodua (D38L) akan dilancarkan pada penghujung 2018 atau awal 2019. Buat masa ini tiada maklumat yang diperolehi dan Perodua sudah memulakan fasa awal projek tersebut sejak bulan lalu. Untuk melihat hasil karya 3D Idiyaz yang lain, sila klik pautan di bawah.


Sumber : funtasticko.net


No comments