Bapa Maut Sementara Dua Anaknya Parah Selepas Kemalangan Babitkan Kereta Dan Treler Minyak


DUNGUN: Seorang bapa maut manakala dua anaknya parah selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah treler muatan minyak di kilometer 35, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Lay Bay, Bukit Besi di sini, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, Azmi Mohamed Noor, 49 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.


Manakala dua anaknya, Nur Fatihah Husna Azmi, 14 tahun dan Mohd Nazrulhaq Azmi, 13 tahun, yang turut mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.


Insiden itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona yang dipandu Azmi dari arah Dungun terbabas selepas membelok masuk ke simpang untuk pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Besi.


Berikutan itu, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melepasi pembahagi jalan sebelum dirempuh lori treler yang datang dari arah bertentangan.



Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah, Jaswari Awang berkata tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.40 petang.


Menurutnya ketika tiba pemandu kereta terbabit tersepit di tempat duduk ekoran keseluruhan bahagian depan kenderaannya remuk. “Dua anak mangsa berjaya dikeluarkan orang ramai dan pihaknya mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang lain,” katanya. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


Sumber : Awani

No comments