'Suri Rumah Langsung Tiada Masa Untuk Diri Sendiri, Mereka Terkongkong Dalam Kita Tak Sedar'


Hari ini hari Rabu, malam ini akan hantar Nora Azni pergi zumba lagi. Zumba sini setiap malam hari Rabu dan Jumaat. Zumba ini khas untuk wanita sahaja.


Rabu minggu hari itu, selepas dia habis zumba dalam jam 10 malam, saya datang menjemputnya. Sampai saja di sana, dia tengah duduk dengan kawan-kawan zumbanya di kedai mamak di bawah gym ini. Terus dia babai kawan-kawan dia dan masuk kereta.


 

Rupanya dia baru saja order air, tak sempat sampai, saya dah sampai dulu. Ala kasihannya. Saya cakaplah pada dia, "lain kali beritahulah nak lepak dulu, saya boleh datang lambat sikit. Tak bestlah kalau tergesa-gesa macam tu kan?"


Jadi Jumaat baru-baru ini saya pesan pada dia, nanti dah habis zumba kalau nak lepak dengan kawan-kawan, beritahu saja. Saya pergi ambil lambat pun tak apa. Dia kata okey. Tup-tup bila dah habis zumba dalam jam 10 malam, dia call minta saya datang ambil. Saya tanya tak lepak ke hari ini? Dia kata, "tak kot?".


 

Saya pun siapkan anak-anak. Si Trex dari sampai rumah lepas hantar tadi pun dah mula menangis, diam, nangis, diam. Manja sangat dengan mama dia. Dah siap letak di car seat, kakak comey pun dah siap pakai seatbelt, kami pun mula gerak dari parking rumah.


 

Tiba-tiba orang rumah call, cakap diorang lepak di mamak dan datang ambil lambat sikit. Nanti dah siap, dia call. Aduss! Kami dah mula gerak dah, tapi tak apalah. Saya bawa seperlahan yang boleh. Dua minit nak sampai, dia call lagi beritahu dekat jam 11 malam nanti baru gerak. Pada waktu itu jam baru 10 malam. Hahaha! 


Tak apalah, saya beritahu dia yang saya tunggu dalam kereta saja. Sampai saja di sana, dia datang ambil kakak dan saya tinggal dalam kereta dengan Akbar yang melalak sebab nampak mama dia. Maka duduklah kami berdua dalam kereta itu. Nasib baik Akbar dah senyap bila bagi dia tengok YouTube Shark Doo Doo. 


Hampir sejam juga menunggu, tapi tak mengapa. Saya yang nak dia berkawan dan bersosial dengan kawan-kawan. Macam pelik saja kan? Sebenarnya tidak. Ini kerana saya sangat memahami dia dan keadaan serta situasi dia sebagai suri rumah sepenuh masa.


 

Seorang suri rumah boleh dikatakan langsung tiada masa untuk diri sendiri. Langsung tiada. Tak percaya? Jadilah seorang suri rumah sepenuh masa dan korang akan tahu. Kadang-kadang waktu berak pun anak datang kacau. Masa suami kerja, sibuk dengan anak-anak. Bila suami balik, sibuk dengan suami pula. 


Itu sebabnya saya sentiasa usahakan untuk menghantar dia berzuma. Sekurang-kurangnya dia dapat berkawan di samping buat aktiviti yang sihat. Tak kisahlah kena tunggu sejam dalam kereta pun untuk dia lepak dengan kawan-kawan. Saya lagi suka. Kalau saya ada rezeki nanti, saya nak offer dia bawa mana-mana kawan dia pergi shopping ke apa, saya sendiri akan hantarkan. Bagi dia enjoy dengan masa dia. Tak perlu risau pasal anak-anak, saya boleh jaga.


Ada orang tidak faham betapa sebenarnya suri rumah ini terkongkong dalam kita tak sedar. Nak pergi kedai untuk beli barangan peribadi tiap-tiap bulan pun belum tentu boleh pergi sendiri. Semua perlu harapkan suami belikan atau bawa. 


Jangan salah faham, segala keperluan memang saya sentiasa sediakan. Isteri saya suka ke sana sini dengan saya dan anak-anak. Tapi saya sedang usahakan untuk beri lebih masa peribadi untuk isteri. Satu benda yang kita sebagai suami selalu terlepas pandang, isteri yang bekerja lain cabarannya. Saya tahu, tetapi sekurang-kurangnya mereka ada masa peribadi mereka. Semasa pergi kerja dan lain-lain. 


Walaupun begitu, isteri yang bekerja juga mahukan masa bersama dengan rakan-rakan. Jadi, kalau ada aktiviti syarikat ke apa, bagilah peluang mereka turut serta. Biar kita yang menjaga anak-anak pula. 


Apa yang saya harapkan, kita sebagai suami janganlah lupa untuk menghormati atau memberi masa peribadi untuk isteri kita. Sama-sama kita membina keluarga yang bahagia kerana segalanya bermula dari rumah. Baiknya sesuatu institusi kekeluargaan, baiklah anak-anak kita. Sebab banyak sangat kita tengok sekarang anak-anak muda hancur kerana keluarga yang runtuh, kan? 


Sumber: Akhtar Syamir & The Reporter

No comments