'Takpe Ok Lagi Ni, Dekat Je Depan Tu' - Suami Degil Biarkan Isteri Baru Bersalin Mengendong Bayi Dan Jalan Jauh


"Memang dekat bagi awak, jauh bagi isteri tu," demikian kata seorang pakcik yang menegur si suami yang seperti tidak memahami akan kesakitan isterinya yang baru bersalin disuruh berjalan jauh.


Kisah yang dikongsikan oleh Al Irfan Jani ini menimbulkan pelbagai reaksi sehingga ada netizen yang menganggap si suami berlaku zalim terhadap isterinya tanpa sedar. Entah apa yang bermain di fikiran si suami, sedangkan semua tahu wanita yang baru saja bersalin, kudratnya bukanlah kuat mana. Ditambah pula dengan 'luka' yang masih berdarah, sungguh tidak terbayang akan keperitan si ibu berkenaan.


SEWAKTU mengiring isteriku keluar dari wad bersalin bersama bayinya, kami ditemani Abah dan ibuku Ama. Sambil menunggu di salah satu dari empat pintu lif, di belakang kami datang seorang lelaki bersama isterinya.


Si isteri itu mengendong bayi yang baru dilahirkan, perlahan-lahan si ibu ini menyusun langkah. Sesekali berhenti sebentar mencuri nafas.


Aduhai, bagaimana tidak aku merasa janggal sekali? Sedang aku pula edang menyorong kerusi roda isteriku dengan anak baru kami di pangkunya. Kasihannya kami pada si ibu ini.


Bersama kami menunggu lif, seorang lelaki bertaraf pakcik bagi aku, tiba-tiba menegur tiga beranak ini.


"Eh, kenapa awak berjalan kaki ni? Kan ada kerusi roda? Jauh ni," katanya.


Ama yang baru perasan turut menoleh, "Ha, ah. Awak (si suami) boleh turun ke tingkat bawah, tinggalkan IC/lesen dan ambilkan kerusi roda di kaunter untuk isteri. Isteri tinggal kejap duduk di sini."


Si ibu cuma tersenyum kelat, jelas di raut wajahnya tidak bermaya, letih melahirkan pun masih tersisa lagi.


"Tak apa, kuat lagi ni," jawab si suami.


Mendengar jawapannya itu, entah kenapa ibuku begitu 'fighter' sekali.


"Ehhh...  Janganlah cakap macam tu. Yang kuat itu awak, kesian dia (isteri) ni, penat bersalin tadi."


"Tak apa, okey lagi ni. Dekat saje depan tu," jawab si suami lagi membuatkan kami bertambah geram bila mendapat respon begitu.


Pakcik tadi sedikit tinggi suaranya, "EH JAUHHH... JAUHH tau nak ke pintu bawah sana. Memang dekat bagi awak. Jauh bagi isteri tu."


Si suami dengan senyum paksa, "Okey saje ni, takpe." 


Isteri di belakangnya masih senyum kelat dari tadi. Aku yang turut 'mendidih' ini, tiba-tiba nak join sekali, "Tengah hujan ni, bang. Jalan licin tau, bahayaa."


Mungkin perasan situasi ini semakin 'tegang', Abah aku cepat-cepat menyelit,


"Dah, dah, takpe. Dah orangnya taknak. Biarlaaa..."


Sekonyong-konyong sepi terus suasana. Selang beberapa saat, pintu lif pun terbuka. Lalu semua orang pun masuk, membawa sepi bersama.


Phew, walau macam mana pun, kita kena berterima kasih pada Abah. Entah tak tahu apa yang terjadi kalau suasana tadi dibiarkan terus tegang. Betullah kata Abah, itu adalah pilihan dia. Mungkin amat biasa bagi sesetengah orang, untuk memilih jalan payah dalam hidupnya.


Aku sebagai suami, sejujurnya faham benar kenapa lelaki itu tidak mengambil kerusi roda demi isterinya. Kerana aku yang lelaki pun tercungap-cungap weh nak ambik kerusi roda itu. Diulangi, aku ini lelaki tau. Lelaki yang tidak melalui tiga zaman ini:


1. YANG TIDAK rasai loya muntah sakit kaki silang urat sembilan purnama macam perempuan masa mengandung.


2. YANG TIDAK bertarung curi-curi nafas atau dipotong dijahit pada tubuh demi lahirkan nyawa baru bagai ibu yang melahirkan.


3. YANG TIDAK berhencut-hencut menyusui anak ikat perut jaga makan minum tenaga seperti ibu lalui detik-detik berpantangnya.


Aku ini lelaki tau, yang tidak melalui ketiga-tiga zaman ini, pun boleh tercungap-cungap nak pergi ambil kerusi roda ini dari tingkat bawah nak dibawa naik ke atas? Ambil kerusi roda tau, benda beroda itu. Aku tak kena pikul pun di bahu, pun boleh tercungap-cungap.


Kau ghase? Beza tak tercungap-cungap itu, dengan tiga zaman itu?


Sumber: Al Irfan Jani & The Reporter

No comments