Misi selamatkan buaya terperangkap tayar. Inilah akibatnya kalau manusia hilang akal...
PALU - Pegawai pemuliharaan haiwan Indonesia sedang berusaha untuk mengesan seekor buaya air masin yang 'terperangkap' dengan tayar motosikal selama lebih setahun.
Reptilia sepanjang empat meter itu sering kali dilihat di sekitar sungai melalui Palu di Sulawesi Tengah sejak 2016.
Bagaimanapun, rakaman video diambil oleh penduduk setempat baru-baru ini menunjukkan buaya tersebut sukar untuk bernafas dan ia dikhuatiri akan membunuhnya.
"Kami percaya ada individu yang sengaja memasukkan tayar tersebut pada badannya kerana cuba memerangkapnya untuk dijadikan haiwan peliharaan.
"Kami tidak mahu menunggu sehingga tayar itu melemaskan buaya tersebut. Kami akan menyelamatkannya," kata ketua agensi pemuliharaan tempatan, Haruna.
Jelasnya, mereka masih gagal untuk menjejaki haiwan tersebut selain kekurangan peralatan yang sesuai.
Pihak berkuasa enggan menggunakan damak dibubuhi ubat penenang kerana bimbang ia mungkin akan hilang semula di sungai itu yang turut menjadi habitat lebih 20 buaya. - AFP
Post a Comment