Terkini: Banjir Pulau Pinang Semakin Reda, Datuk Lee Chong Wei Memberi Sumbangan


Keadaan banjir di Pulau Pinang beransur pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan semakin berkurangan pagi ini. Sehingga 6 pagi, sejumlah 3,482 orang daripada 914 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan berbanding 5,729 orang daripada 1,445 keluarga malam tadi. Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata semua mangsa banjir itu ditempatkan di 25 pusat pemindahan di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).


"Seramai 2,588 orang berada di 13 pusat pemindahan di daerah SPU manakala 894 orang lagi di 12 pusat pemindahan di SPT," katanya hari ini. Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati penduduk yang telah pulang ke rumah mereka mula membersihkan rumah masing-masing dengan dibantu sukarelawan seawal pukul 7 pagi.

Mereka berharap lebih ramai sukarelawan dapat membantu penduduk kerana keadaan selepas banjir lebih teruk berbanding ketika air sedang naik malah rumah dipenuhi sampah dan lumpur. Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok. Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut 7 nyawa.


Sementara itu, dalam kesibukannya menjalani latihan dan persediaan untuk menyertai kejohanan, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei sempat menguruskan bantuan untuk mangsa banjir di Pulau Pinang.

Related image

Beliau menghantar dua lori sarat berisi makanan. sebahagian besarnya biskut, dan 100 biji bantal untuk diserahkan kepada mangsa banjir di negeri itu. “Walaupun saya tidak dapat ke sana bersama-sama mereka (mangsa banjir), tapi saya tolong mana yang boleh untuk bantu mangsa banjir di sana.

“Saya ada menerima mesej memaklumkan keperluan mangsa banjir yang masih belum cukup, dan saya hantar sedikit bantuan,” katanya ketika ditemui Bernama di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.

Pemain berusia 35 tahun, berasal dari Bukit Mertajam Pulau Pinang itu, berharap bantuan yang dihulur dapat mengurangkan beban mangsa banjir. -Bernama

No comments