Akaun, Harta Milik Khalifah Saidina Uthman Affan Masih Wujud Hingga Kini

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Wakaf ini berupa bangunan hotel yang disewakan.

Subhanallah..

Salah seorang sahabat nabi, Khalifah Sayyidina Uthman bin Affan (عثمان بن عفان) adalah seorang ahli perniagaan yang kaya raya, baik hati, pemurah dan seorang yang dermawan. Beliau juga berjasa dalam membukukan Al-Quran. Ternyata sehingga sekarang beliau masih memiliki akaun di salah sebuah bank di Arab Saudi. Malah akaun dan bil elektriknya juga masih atas nama beliau…

Bagaimanakah cerita Khalifah ketiga yang memerintah daripada tahun 644 (umur 69-70 tahun) hingga 656 (selama 11-12 tahun) yang sehingga kini beliau mampu memiliki hotel berhampiran Masjid Nabawi?

Di riwayatkan semasa zaman Nabi Muhammad ﷺ, kota Madinah pernah mengalami zaman kemarau sehingga kesukaran mendapatkan air bersih. Oleh kerana mereka (kaum Muhajirin) sudah terbiasa minum air zam-zam di Makkah. Satu-satunya sumber air yang tinggal adalah sebuah telaga bernama ‘Telaga Raumah’, milik seorang Yahudi. Rasanya sama seperti air dari telaga zam-zam. Kaum Muslimin dan penduduk Madinah dengan tiada pilihan lain, terpaksa membeli air bersih dari orang Yahudi tersebut.
Prihatin atas keadaan umatnya, Rasulullah ﷺ kemudian bersabda : “Wahai Sahabatku! Sesiapa sahaja di antara kamu yang menyumbangkan hartanya untuk dapat membebaskan telaga itu, lalu mendermakannya untuk umat, maka akan mendapat Syurga Allah سبحانه وتعالى.” (HR. Muslim).
.
Sayyidina Uthman Bin Affan RA yang kemudian mula bertindak untuk membebaskan telaga Raumah itu. Sayyidina Uthman RA segera berjumpa dengan orang Yahudi pemilik telaga dan menawar untuk membeli ‘Telaga Raumah’ dengan harga yang tinggi.

Namun begitu, walau sudah ditawarkan dengan harga yang tertinggi sekalipun, orang Yahudi pemilik telaga tetap menolak dan tidak mahu menjualnya, “Seandainya telaga ini saya jual kepadamu wahai Uthman, maka aku tidak mempunyai pendapatan yang boleh aku perolehi setiap hari.” Yahudi tersebut menjelaskan alasan penolakannya.
Sayyidina Uthman bin Affan RA yang ingin sekali mendapatkan balasan pahala berupa Syurga Allah Ta’ala, tidak kehilangan cara mengatasi penolakan Yahudi ini.

“Bagaimana kalau aku beli setengahnya saja dari telagamu.” Sayyidina Uthman RA, melancarkan kemahiran rundingannya.
“Maksud kamu?” tanya orang Yahudi kehairanan.
Sayyidina Uthman bin Affan RA menawarkan 12,000 dirham supaya orang Yahudi tersebut bersetuju menjual setengah saja daripada ‘Telaga Raumah’.

“Begini, jika engkau setuju, maka kita akan memiliki telaga ini bergilir-gilir. Satu hari telaga ini milikku, esoknya kembali menjadi milikmu kemudian lusa menjadi milikku lagi demikianlah seterusnya berganti berselang hari. Bagaimana?” jelas Sayyidina Uthman RA.
Yahudi itupun segera berfikir.… “Aku mendapatkan wang besar dari Uthman tanpa kehilangan telaga milikku.”

Akhirnya orang Yahudi tersebut bersetuju menerima tawaran Sayyidina Uthman RA tadi dan disepakati juga bahawa pada hari tersebut ‘Telaga Raumah’ adalah milik Sayyidina Uthman bin Affan RA.

Sayyidina Uthman RA pun segera mengumumkan kepada penduduk Madinah yang mahu mengambil air di ‘Telaga Raumah’, dipersilakan mengambil air untuk keperluan mereka secara percuma kerana hari ini ‘Telaga Raumah’ adalah miliknya. Beliau juga mengingatkan agar penduduk Madinah mengambil air dalam jumlah yang cukup untuk 2 hari, kerana hari esoknya telaga itu bukan lagi milik Sayyidina Uthman RA.

Keesokan hari Yahudi mendapati telaga miliknya lengang, kerana penduduk Madinah masih mempunyai simpanan air di rumah. Orang Yahudi itu pun berasa kerugian lalu dia pergi bertemu Sayyidina Uthman RA dan berkata, “Wahai Uthman! Belilah setengah lagi telagaku ini dengan harga 8,000 dirham.”

Sayyidina Uthman RA pun bersetuju, lalu dibelinya dengan harga tersebut, maka dengan nilai 20,000 dirham (12,000 dirham + 8,000 dirham), ‘Telaga Raumah’ pun secara mutlak menjadi milik Sayyidina Uthman RA.

Kemudian Sayyidina Uthman bin Affan RA mewakafkan ‘Telaga Raumah’, sejak itu ‘Telaga Raumah’ dapat dimanfaatkan oleh sesiapa saja, termasuk Yahudi pemilik lamanya.

Setelah telaga itu diwakafkan untuk kaum muslimin… dan setelah beberapa waktu kemudian, tumbuhlah di sekitar telaga itu beberapa pokok kurma dan terus bertambah. Kemudian Daulah Khalifah Uthmaniyah memeliharanya hingga semakin berkembang, dan juga turut dipelihara oleh kerajaan Arab Saudi, hingga mencapai jumlah 1550 batang pokok.
Ladang kurma tersebut kemudiannya dipajak kepada Kementerian Pertanian cawangan Madinah sejak 1372 dengan kontrak tahunan diperbaharui pada awal setiap tahun.

Seterusnya kerajaan, melalui Kementerian Pertanian Saudi menjual hasil ladang kurma ini ke pasaran, setengah dari keuntungan itu disalurkan untuk anak-anak yatim dan fakir miskin. Manakala separuh lagi dibuat tabungan dan disimpan dalam bentuk akaun khas milik beliau di salah sebuah bank atas nama Uthman bin Affan, di bawah pengawasan Kementerian Wakaf Arab Saudi.

Begitulah seterusnya, sehingga wang yang ada di bank itu cukup untuk membeli sebidang tanah dan membangunkan hotel yang cukup besar di salah satu tempat strategik berhampiran Masjid Nabawi.

Oleh yang demikian itu, maka Nabi ﷺ pernah bersabda,
لِکُلِّ نَبِيٍّ رَفِيْقٌ وَرَفِيْقِيْ يَعْنِيْ فِي الْجَنَّةِ عُثْمَانُ.
“Tiap-tiap Nabi mempunyai teman dan sahabatku di Jannah (syurga) adalah Uthman.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ibn Majah)
.
Subhanallah,… Jelaslah tidak akan rugi berniaga dengan Allah سبحانه وتعالى, malah akan sentiasa mendatangkan keuntungan berterusan…
Ini adalah salah satu bentuk sedekah jariah, yang pahalanya terus mengalir, walaupun orangnya sudah lama meninggal..
Disebutkan di dalam hadis sahih dari Abi Hurairah RA bahawasanya Nabi ﷺ bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

“Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah segala amalannya, kecuali dari tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud dan Nasa’i)
.
Daripda Abu Hurairah RA, Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لاِبْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ
“Sesungguhnya di antara amalan dan kebaikan seorang mukmin yang akan menemuinya selepas kematiannya adalah: ilmu yang diajarkan dan disebarkannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushhaf yang diwariskannya, masjid yang dibangunnya, rumah untuk ibnu sabil yang dibangunnya, sungai (air) yang dialirkannya untuk kegunaan awam, atau sedekah yang dikeluarkannya daripada hartanya di waktu sihat dan semasa hidupnya. Semua ini akan menemuinya setelah dia meninggal dunia.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi).

والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

sumber : shafiqalbu

No comments