(Video) 'Kau langgar kami, kau fitnah kami langgar kau' - Mangsa
Pasangan warga emas mengalami kecederaan parah, manakala seorang lelaki dan anaknya yang juga berada di dalam kereta yang sama mengalami kecederaan dalam kemalangan yang berpunca dari kecuaian pemandu kereta pacuan empat roda.
Dalam kejadian pada 12 April lalu di Changkat Jering, Pemandu Toyota Hilux secara tiba-tiba memasuki lorong bertentangan lalu melanggar sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu Mohamad Redzwan bersama dengan isteri, anak dan ibu bapanya.
Kejadian itu menyebabkan ibunya patah tulang rusuk kiri kanan, manakala bapanya pula patah rahang, patah kaki dan kepala berjahit. Mohamad Redzwan juga cedera dan anaknya cedera di bahagian lidah akibat tergigit serta isterinya mengalami lebam-lebam.
Sementara itu, pemandu Hilux, isteri dan anaknya dipercayai tidak mengalami kecederaan.
Kemalangan itu menyebabkan kereta Hilux terbabit terbalik dan kereta mangsa pula remuk teruk di bahagian kanan.
Bagaimanapun, Mohamad Redzwan kesal dengan tindakan pemandu Hilux berkenaan yang membuat laporan palsu kononnya dia yang memasuki laluan Hilux terbabit sehingga menyebabkan kemalangan tersebut.
"Dia buat laporan kata saya masuk laluan dia. Dia langsung tak berjumpa dengan saya dan keluar, malah minta maaf pun tiada," katanya yang juga menegaskan mahu mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian itu.
Lebih mengeruhkan lagi keadaan, Mohamad Redzwan mendakwa anak pemandu Hilux itu juga memarahinya kerana percaya kejadian itu berpunda darinya.
Menceritakan semula saat kejadian itu, Mohammad Redzwan menyedari kereta Hilux itu tersasar dari laluan lalu dia membunyikan hon untuk memberi amaran. Namun pemandu terbabit tidak sedar dan Mohamad Redzwan mengelak ke bahu jalan, namun tetap dilanggar kereta itu.
"Saya nampak dia dah keluar dari laluan dia. Saya hon, dia makin masuk. Saya dah ke tepi sehabisnya tetapi tak dapat juga nak mengelak. Mungkin orang itu tertidur," katanya.
Video rakaman dashcam juga dengan jelas menunjukkan kereta Hilux terbabit memasuki laluan mangsa sebelum dirempuh.
Difahamkan, Mohamad Redzwan kini masih menunggu hasil siasatan polis sebelum membawa hal itu ke mahkamah untuk tindakan lanjut.
Sumber - The Reporter
Post a Comment