Lelaki bolosi Istana Bukit Serene, cuba curi Ferrari sultan
Seorang lelaki yang dipercayai penagih dadah ditangkap selepas membolosi rang Istana Bukit Serene di Johor Bahru dan cuba mencuri Ferrari Sultan Johor.
Portal Malay Mail Online yang memetik sumber polis melaporkan suspek berusia 31 tahun dan berasal dari Gelang Patah. Lelaki itu dilaporkan meluru ke istana pada jam 12.30 malam semalam melalui pintu masuk di Jalan Strait View.
"Terdapat hanya dua askar Timbalan Setia Negeri Johor yang berkawal tetapi suspek berjaya masuk.
"Tidak jelas mengapa kedua-dua anggota itu tidak menghentikan dan memeriksa suspek," kata sumber itu.
Lelaki itu kemudian dilaporkan menuju ke garaj tempat kereta-kereta Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar disimpan.
Suspek kemudian dikatakan cuba mendekati sebuah Ferrari biru tetapi tindakannya itu dikesan oleh seorang anggota polis yang bertugas melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Anggota polis itu kemudian menuju ke garaj untuk berdepan dengan suspek.
Menurut sumber lagi, apabila menyedari kehadiran anggota polis, suspek terus bergegas ke keretanya dan melarikan diri.
Namun, polis kemudian berjaya menjejak suspek dan menahannnya.
Sumber : Malaysiakini

Post a Comment