Kereta wartawan masuk lubang dekat IPK

Sebuah kereta milik wartawan hari ini 'memasuki' lubang kumbahan yang tidak berpenutup berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah pagi tadi.


Ia menyebabkan wartawan tersebut menanggung kerugian akibat kerosakan pada tayar di bahagian kanan depan dan bampar keretanya.


Menceritakan kejadian itu, wartawan tersebut berkata beliau ke IPK Kuala Lumpur bagi membuat liputan acara yang dihadiri Timbalan Perdaana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


"Ketika saya mahu meletakkan kereta di kawasan lapang dekat IPK itu, tiba-tiba tayar depan kereta masuk ke dalam lubang.


"Saya pun keluar untuk lihat apa yang terjadi dan nampak lubang yang tak ditutup itu. Saya amat kecewa kerana lubang sebegini boleh ada di kawasan berhampiran IPK.


"Nasib baik tiada apa-apa walaupun saya kena tukar tayar baru. Tetapi bayangkan kalau motor yang terjatuh atau pejalan kaki pada waktu malam," katanya yang enggan namanya disiarkan kepada Malaysiakini.


Salah seorang rakan wartawan yang menyedari kejadian itu dengan segera meminta pertolongan polis yang kemudiannya memanggil renjer Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Renjer itu kemudian membantu mengeluarkan kereta tersebut dan menukarkan tayar yang rosak, katanya.


"Walaupun kecewa dengan lubang tak berpenutup yang dibiarkan begitu saja, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ITIS sebab mereka buat kerja secara percuma," katanya lagi.


ITIS DBKL berkhidmat memberikan bantuan percuma kepada pengguna jalan raya seperti mengalihkan sebarang objek termasuk kenderaan rosak yang menghalang lalu lintas di Kuala Lumpur.


Sumber : malaysiakini


No comments