'Satu Malaysia Tuduh Saya Pembunuh' - Doula Mas Tampil Beri Penjelasan Dan Buat Laporan Polis Tetapi...
'Home birth' kini menjadi pilihan wanita-wanita yang melahirkan anak tanpa memikirkan natijah di sebaliknya. Kelahiran ini dipilih kerana terpengaruh dengan momokan dari mulut ke mulut tentang 'kebaikan' home birth ini. Walaupun ada beberapa kes kematian yang telah dilaporkan sebelum ini, namun masyarakat masih belum sedar akan risikonya.
Kini timbul pula isu 'doula' yang dikaitkan dengan isu kematian seorang bayi songsang di selatan tanah air. Beliau menafikan telah terlibat dengan isu ini. Doula Mas telah membuat laporan polis mengenai fitnah yang telah dilemparkan ke atasnya. Beliau telah memuat naik statusnya di Facebook berhubung kejadian tersebut.
Bagaimanapun, kenyataan Doula terbabit disangkal oleh Doktor Sakinah Sulong melalui Facebook yang mendakwa Doula Mas yang menyebabkan kematian bayi yang tidak berdosa itu serta menyatakan Doula Mas adalah pembohong.
"Satu Malaysia menuduh saya pembunuh," demikian tulis Masyitah Md Hassan yang tampil menafikan dakwaan itu.
"Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Ini adalah kenyataan rasmi daripada saya, Masyitah Md Hassan (Doula Mas) berkenaan kes yang viral di Malaysia kini mengaitkan nama saya.
"Pada mulanya saya bercadang tidak mahu respon memandangkan saya juga sedang menunggu masa melahirkan bayi keempat dan juga disebabkan post yang dibuat oleh sebuah laman Facebook yang sudah biasa memfitnah saya, sekali gus adminnya tidak dikenali.
"Namun, apabila ramai doktor dan kakitangan kesihatan cuba menghangatkan lagi isu walaupun mereka hanya menerima maklumat ini daripada laman Facebook yang tidak bertanggungjawab, seterusnya menghakimi saya dan mengajak netizen datang menyerang profile Facebook saya dengan perkataan 'Pembunuh Bayi'.
"Perkara ini amat tidak menyenangkan sehingga suami saya terpaksa mengambil alih akaun Facebook saya dan block semua pemfitnah ini, memandangkan beliau tidak mahu emosi saya bercampur baur dan menyebabkan gangguan emosi.
"Bagaimanapun, setelah beberapa hari kemudian kejadian ini masih belum reda dan mereka berusaha menyebarkan fitnah ini dengan lebih luas sehingga ada yang mendoakan kematian bayi saya pula. Maka dengan ini saya menggagahkan diri di saat sarat mengandung ini untuk membuat laporan polis mengenai semua tuduhan yang dilemparkan terhadap saya. Sungguh! Tuduhan sebagia pembunuh ini sangat-sangat berat buat saya.
KES BAYI MATI KELAHIRAN SONGSANG DI RUMAH
"Ya benar, memang ada kes kematian bayi di rumah baru-baru ini di selatan tanah air. Saya mengambil masa juga untuk mendapatkan cerita penuh tentang kejadian yang didakwa sebagai perbuatan sengaja untuk melahirkan bayi di rumah. Dan saya dituduh membantu proses kelahiran yang mengakibatkan kematian bayi.
"Saya mengambil masa untuk mengenalpasti individu-individu yang terlibat menyebarkan dakwaan ini dan punca mereka membuat tuduhan kejadian tersebut adalah perbuatan 'Homebirth'. Lagi pula pasangan berkenaan baru sahaja kehilangan anak, maka banyak urusan mereka perlu selesaikan, terutamanya si ibu yang masih berada dalam keadaan terkejut dan dalam proses berpantang.
"Saya mempertimbangkan keadaan ibu yang mungkin mengalami depression jika saya cuba mendapatkan maklumat berkenaan dakwaan Homebirth yang diviralkan, maka saya menunggu sehingga mereka sendiri menghubungi saya untuk penjelasan.
"Disebabkan itu, saya memilih untuk tidak menjawab sebarang tohmahan pada saya di media sosial sehingga saya mendapat gambaran sebenar keseluruhan kejadian hingga menyebabkan petugas yang terlibat merawat ibu dan bayi berkenaan mendakwa itu adalah perbuatan Homebirth dan mengambil tindakan menyebarkannya di kalangan petugas kesihatan yang lain melalui media sosial Facebook termasuk WhatsApp.
"Saya tidak mengelak untuk memberikan kenyataan kecuali setelah saya memahami keseluruhan dakwaan yang dituduh terhadap saya, walaupun beribu-ribu PM, komen dan tag di media sosial mendesak saya tampil membuat kenyataan, selain netizen yang terpengaruh dengan fitnah dan turut sama mencerca dan mengeji saya walaupun sumber mereka adalah tidak diketahui siapa penulisnya dan juga tiada bukti.
"Saya difahamkan oleh pasangan terbabit bukanlah plan Home birth seperti dicanangkan dan mereka juga tidak pasti kedudukan bayi pada ketika itu. Tetapi si ibu menyatakan bahawa last check up memang bayi belum dalam keadaan kepala di bawah. Maka tidak munasabah untuk mereka mengambil risiko untuk melakukan percubaan homebirth. Bahkan beliau mengatakan pada saya walaupun beliau ada berharap bayi pusing di saat akhir, tetapi jika bayi tidak berpusing, beliau redha untuk emergency c-section.
"Semasa kejadian adalah lebih kurang selepas maghrib, si ibu memang bercadang untuk pergi ke hospital .Beliau mula mengalami mild contraction selepas asar. Bila saya tanya kenapa tidak pergi ke hospital awal lagi? Beliau menjawab beliau ada pengalaman anak sulung menunggu terlalu lama bila pergi sebelum ada sakit. Jadi beliau menunggu sekejap di rumah sambil menjaga anak sulung. Jarak rumah dengan hospital juga tidak begitu jauh.
"Namun beliau tidak menyangka semasa maghrib itu tanpa kontraksi yang kuat dan bersama barangan bayi yang telah disiapkan untuk pergi ke hospital, tiba-tiba beliau terasa mahu meneran. Beliau meneran dan akhirnya kaki bayi keluar dulu dan disambut oleh suami. Bayi juga tidak bernafas setelah keluar sepenuhnya dan suami menghubungi ambulans. Pihak ambulans datang dan cuba memberi bantuan untuk menyelamatkan bayi, malangnya bayi itu sudah tiada.
"Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap saya yang menyatakan saya mendoula pasangan berkenaan, mempengaruhi untuk melakukan homebirth adalah tidak benar sama sekali. Dalam keadaan saya yang juga sarat mengandung 39 minggu lebih mustahil saya mampu untuk mendoula ibu yang mana kerja ini memerlukan tenaga dan daya kudrat yang tinggi.
"Ibu ini juga telah memberi kenyataan kepada pihak hospital dan polis bahawa saya tiada kaitan dengan kes beliau dan beliau tidak pernah mengambil sebarang perkhidmatan saya walaupun beliau baru mengenali saya. Dan amat tidak munasabah untuk saya menyambut bayi di rumah memandangkan kebiasaannya bayi low risk pun saya mendoula di hospital swasta dengan adanya staff perubatan. Inikan pula kes berisiko tinggi seperti ini.
"Sehingga kini saya masih belum dihubungi oleh mana-mana pihak yang mewakili Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahupun pihak berkuasa untuk meminta saya tampil memberi keterangan. Akan tetapi viral post daripada beberapa laman Facebook dan beberapa profile individu telah mendakwa saya terlibat membantu pasangan terbabit untuk melakukan homebirth secara sengaja.
"Dengan ini saya lampirkan laporan polis terhadap semua tuduhan yang tidak benar ke atas saya. Saya berharap penjelasan ini sedikit sebanyak dapat menjelaskan pada semua tentang kes ini dan kita doakan ibu dan bapa berkenaan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
"Pada saya, tidak ada ibu bapa yang mahu kejadian seperti ini berlaku. Anak yang dikandung sembilan bulan akhirnya tidak dapat diselamatkan. Akan tetapi tambahan ujian lagi pada pasangan ini kerana kejadian berlaku di rumah mereka, maka mereka dikatakan sengaja bersalin di rumah. Jika bayi berkenaan terkeluar di mana-mana tempat seperti pusat beli belah, Marrybrown atau di hospital, mungkin tuduhan ini tidak berlaku dan doula juga tidak dikaitkan.
"Berikutan kejadian ini, saya percaya terdapat pihak cuba mengambil kesempatan untuk memanipulasi situasi ini untuk menganiaya saya dengan dakwaan palsu atas andaian mereka sendiri dan secara tidak langsung menganiaya pasangan terbabit demi mendatangkan kemudaratan pada latarbelakang saya yang menjalankan kelas sebagai Child Birth Education (CBE) yang juga seorang Peneman Ibu Bersalin (Doula).
"Jika sekiranya pihak hospital atau polis mahu mengambil keterangan saya, pihak berkenaan boleh menghubungi saya di talian 012-2257914. Tindakan kakitangan terbabit yang mengambil tindakan secara individu dan menyebarkan dakwaan tidak benar kepada pihak awam jelas melanggar etika kerja anda sebagai kakitangan perubatan.
"Jika terdapat sebarang keraguan, sila buat laporan polis dan aduan rasmi kepada hospital seperti mana nasihat anda kepada saya semasa isu staff Hospital Shah Alam yang telah bertindak secara tidak beretika terhadap pesakit.
"Saya berharap kesi ni dapat menjadi pengajaran kepada semua pembaca supaya tidak menuduh secara melulu apa yang dibaca di media sosial terutama daripada page yang adminnya secara sengaja 'baling batu sembunyi tangan'. Jika mereka berada di pihak yang benar, maka tidak perlu bersembunyi di sebalik nama samaran 'enthonox' ataupun lain-lain profile palsu.
"Ini kerana mereka bukanlah insan bertanggungjawab dan tidak takut melakukan apa sahaja walauapun ke tahap memfitnah dan memalukan individu yang mereka tidak sukai sehingga sanggup mereka, mengubah gambar milik orang lain dengan label-label berunsur fitnah serta menghakimi mangsa fitnah dengan tuduhan penjenayah, pembunuh, sedangkan itu tugas hakim dan pihak polis.
"Sekian kenyataan rasmi daripada saya. Saya tidak dapat memberi respon lagi pada mana-mana komen atau PM berunsur provokasi kerana saya perlu fokus untuk proses bersalain saya buat masa ini. Sebarang urusan lanjut saya serahkan kepada pihak berkuasa dan saya sedia bekerjasama untuk melancarkan siasatan dan seterusnya memberikan nama saya daripada tuduhan ini.
"Saya juga akan mempertimbangkan tindakan undang-undang tehradap semua pihak yang terlibat menyebarkan dakwaan fitnah ini. Terima kasih," tulisnya dan turut melampirkan salinan laporan polis yang telah dibuat.
Terdahulu, Doktor Sakinah melalui Facebooknya turut meluah rasa kesal dengan kejadian yang tidak diingini itu berlaku sehingga menyebabkan seorang bayi kehilangan nyawa. Malah beliau berasa pelik mengapa individu yang bertanggungjawab terbabit enggan mengaku terlibat dalam kejadian itu.
"Saya memang marah hari ini. Pertama, marah dengan Doula keji itu. Dah sah-sah dia yang attend kes water birth di rumah klien dia, dia boleh nafikan pula. Habis, kawan-kawan/klien dia back up dia kononnya dia kena fitnah. Kononnya dia elok duduk di rumah pada malam kejadian.
"Aik? Berbohong itu kan berdosa. Sudah terang-terang dia berada di sana ketika ambulans datang nak selamatkan baby itu. Dia juga ikut pasangan berkenaan ke hospital.
"Jangan nak berdalih, ada ramai saksi di hospital. CCTV pun ada. Entah-entah solat maghrib pun tak sempat kan?
"Peliklah, you are heavily pregnant now, tak takut ke Allah bayar cash to you hasil perbuatan dan pembohongan you itu? Yakin sangat ke yang suami awak itu boleh conduct the delivery kali ini tanpa sebarang masalah walaupun dia dah berjaya sebelum ini?
"Remember, health staff yang jaga area you will be reminded to be alert if ada unexpected emergency.
"Second, kepada makcik-makcik bawang yang kata doktor cakap tanpa bukti, kata kami fitnah, saya ada bukti dan sebab itu saya berani kongsikan perkara ini di wall Facebook saya.
"I know the doctor or staffs yang terlibat pada malam kejadian. That's why I know this case happened. Nak bukti? Medical records ibu ini? You guys should know, as medical staffs kami tidak dibenarkan untuk berbuat demikian. Kerahsiaan pesakit, nama pesakit, butiran pesakit, apa kerja dia, siapa suami dia, bila kali terakhir dia bersalin, rekod-rekod lepas, ada di tangan kami. Tetapi kami tidak boleh dedahkan kerana inilah tanggungjawab kami kepada pesakit berkenaan.
"Tetapi adalah menjadi tanggungjawab kami juga membuka cerita ini tanpa mendedahkan kerahsiaan pesakit agar menjadi pengajaran untuk ibu bapa lain dan yang masih berangan nak berenang dalam kolam beranak di rumah tanpa medical supervision supaya korang sedar ada doula yang tidak bertanggungjawab hanya mahu mengutip duit tetapi nak menguruskan kes berisiko pun tak tahu," katanya.
Sumber - The Reporter
Post a Comment