Tarikan terbaru Pulau Pinang setinggi 700 meter dari paras laut kini dibuka. Jangan lepaskan peluang ini!
Pulau Pinang sememangnya merupakan destinasi tarikan pelancong dari dalam mahupun luar negara. Namun, terdapat satu lagi tarikan terbaru dan ianya terletak betul-betul di atas Penang Hill!
Anda pasti pernah mendengar tentang The Habitat yang merupakan lokasi eko-pelancongan bertaraf dunia yang dibuka pada tahun 2016.
The Habitat menjadi destinasi yang akan mendekatkan diri anda dengan alam semulajadi sambil mendidik orang ramai tentang langkah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Pada tanggal 19 Januari yang lalu, Jambatan Stressed Ribbon bertaraf dunia pertama kali dibuka secara rasmi kepada orang ramai.
Pembukaan laluan kanopi ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa ianya sebagai salah satu tambahan terbaru dalam merasai pengalaman di hutan hujan yang mempesonakan.
Jambatan ini dikatakan merupakan jambatan pertama di dunia yang dibina di antara pokok-pokok tinggi di kawasan hutan hujan.
Dinamakan sebagai Laluan Kanopi Langur, jambatan ini merupakan sebahagian daripada fasa kedua dalam projek pembinaan The Habitat. Jadi, anda pasti menjangkakan akan ada lebih banyak tarikan yang bakal dibina di hutan hujan yang berusia 130 tahun ini.
Bukan sahaja itu, ia juga mempunyai ketinggian sebanyak 700 meter di atas paras laut menjadikan jambatan ini sebagai jambatan tertinggi di dunia! Jadi, kepada sesiapa yang gayat itu, fikir-fikir dahulu ya?
Laluan sepanjang 230 meter ini dikatakan mampu menampung seramai 900 pengunjung pada satu-satu masa. Malah, jambatan ini turut direka bagi memudahkan pengguna kerusi roda dan juga kereta sorong bayi untuk melaluinya. Dalam erti kata lain, seisi keluarga akan berpeluang untuk menikmati pengalaman hebat ini tanpa sebarang halangan.
Apa yang lebih menarik mengenai jambatan ini adalah dari segi pembinaannya. Laluan Kanopi ini dibina tanpa menggunakan jentera berat mahupun kabel keluli bagi memelihara pokok-pokok yang ada.
Di samping itu, Fasa Ketiga dijangka akan siap dalam tahun ini dan ianya meliputi kemudahan perkhidmatan Zip-Line sejauh 880 meter! Menarik bukan?
Jadi, apa tunggu lagi? Ayuh ajak ahli keluarga mahupun rakan-rakan untuk ke The Habitat sekarang! Ianya pasti akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan untuk anda semua.
Sumber: World of Buzz
Post a Comment