Fakta Menarik Mengenai Pangkat Dato' / Datuk Yang Mungkin Anda Tak Pernah Tahu
Masyarakat Malaysia kini sangat pentingkan pangkat, sehingga terdapat segelintir daripada kita yang sanggup menggunakan jalan mudah untuk diiktiraf sebagai orang penting dalam masyarakat walaupun tiada sumbangan kepada masyarakat, negara mahupun menjadi pemimpin dalam apa-apa bidang.
Pangkat Dato' Kerajaan Malaysia VS Sir Kerajaan Britain
Pangkat Datuk/Dato' di Malaysia ini adalah setaraf dengan pangkat kesatriaan yang dianugerahkan oleh Queen Elizabeth II di Britain. Namun dari segi standard pemegang-pemegang status ini adalah sangat berbeza sekali.
Di Malaysia, sebanyak lebih kurang 700 ke 1200 pangkat Datuk/Dato diberi setiap tahun, manakala kurang daripada 100 orang menerima status yang setaraf di Britain. Dari segi populasi, Malaysia mempunyai populasi sebanyak lebih kurang 31 juta orang, manakala Britain mempunyai populasi lebih kurang 65 juta orang.
Melihat kepada nombor-nombor ini, anda boleh bayangkan betapa mudahnya Malaysia memberikan pangkat ini kepada rakyatnya berbanding kerajaan Britain.
Dari segi pemegang pangkat di Britain, sudah tentulah mereka betul-betul mempunyai sumbangan yang penting kerana pemilihan yang sangat ketat. Di Malaysia? Anda sendiri boleh nilai akan kualiti pemilihan pemegang pangkat Dato' kita.
Walaupun begitu, tidak semua pemegang pangkat Datuk/Dato' yang membeli pangkat mereka. Ada ramai yang betul-betul berjasa, namun disebabkan nila setitik, habis rosak susu sebelanga.
Mengikut statistik, kebanyakan pangkat ini diberi oleh Pahang (105), diikuti Selangor (90), Melaka dan Perak (60), dan Pulau Pinang (59). Dato' yang paling susah untuk dapat adalah dari negeri Johor, iaitu sebanyak seorang sahaja.
Bayangkan, sekiranya secara purata sebuah negeri menganugerahkan 63 (dari statistik di atas) pangkat Dato' setiap tahun, dalam masa 5 tahun, akan ada 315 Dato'. Ini baru 1 negeri. Kalau 13 negeri, hampir 4100 orang Dato'. Belum termasuk yang daripada peringkat persekutuan lagi.
Bak kata Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim, andaikata anda lontar sebiji batu, batu tersebut akan mengenai seorang Dato', dan apabila batu itu melantun, ia akan mengenai Dato' lain.
Jenis-Jenis Pangkat Peringkat Persekutuan
Secara umumnya, terdapat 2 kategori anugerah, satu di peringkat persekutuan, dan satu lagi di peringkat negeri. Anugerah di peringkat persekutuan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Pangkat-pangkat peringkat persekutuan adalah Tun, Tan Sri dan Datuk.
Tun adalah pangkat tertinggi di peringkat persekutuan. Terdapat tidak lebih daripada 35 orang pemegang (yang masih hidup) pada satu-satu masa. Isteri kepada seorang Tun digelar Toh Puan.
Tan Sri adalah pangkat kedua tertinggi di peringkat persekutuan. Ada 2 jenis iaitu Panglima Mangku Negara (PMN) dan Panglima Setia Mahkota (PSM). Terdapat tidak lebih daripada 75 PMN dan 250 PSM dalam satu-satu masa. Isteri seorang Tan Sri digelar Puan Sri.
Datuk dikurniakan di peringkat persekutuan dan berbeza daripada Dato'. Terdapat 2 jenis iaitu Panglima Jasa Negara (PJN) dan Panglima Setia Diraja (PSD). Terdapat tidak lebih daripada 200 orang pemegang bagi setiap PJN dan PSD. Isteri kepada seorang Datuk digelar Datin.
Jenis-Jenis Pangkat Peringkat Negeri
Di peringkat ini, penganugerahan disampaikan oleh sultan negeri. Di peringkat ini, tiada had yang diletakkan bagi pemberian pangkat Dato'. Terdapat 3 jenis Dato' iaitu Dato' Seri Utama, Dato' Seri/Dato' Paduka dan Dato'.
Dato' Seri Utama dikatakan adalah lebih tinggi daripada Tan Sri. Isteri kepada seorang Dato' Seri Utama digelar Datin Seri Utama. Isteri kepada seorang Dato' Seri/Dato' Paduka digelar Datin Seri.
Isteri kepada seorang Dato' digelar Datin kecuali di Terengganu, mereka digelar sebagai To' Puan. Jangan terkeliru antara To' Puan dan Toh Puan (Isteri kepada Tun).
Terdapat variasi dari segi ejaan pangkat ini bagi lain-lain negeri. Contohnya di Melaka dan Kedah, pangkat yang diberi adalah Datuk Wira. Di Sarawak, terdapat Datuk Amar dan Datuk Patinggi, manakala di Sabah terdapat Datuk Seri Panglima.
Sesetengah negeri seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai sultan. Jadi, pangkat tersebut dianugerahkan oleh Gabenor yang dilantik oleh Agong.
Jadi, penerima dari negeri-negeri ini mendapat Datuk dan bukannya Dato' selari dengan peringkat persekutuan.
Selain melalui penganugerahan, terdapat juga pangkat Dato' yang diwarisi. Contohnya di Negeri Sembila, pangkat Dato' boleh diwarisi oleh sesetengah ketua keluarga melalui undang-undang adat.
Situasi yang sama juga benar bagi negeri Pahang. Contohnya keluarga Dato' Sri Najib Tun Razak adalah keturunan yang mewarisi pangkat Orang Kaya Indera Syahbandar. Ini bermaksud Najib, sekiranya segala pangkat beliau terbatal, Najib masih lagi bergelar Dato'.
Pendekatan Lama Penganugerahan Pangkat
Pada masa dahulu, anugerah terhormat ini selalunya diberi kepada senior-senior penjawat awam yang berpangkat tinggi, ahli politik (hanya kepada Menteri Kabinet), hakim (Mahkamah Tinggi dan ke atas) dan ahli perniagaan yang kaya raya.
Mengikut rekod tahun 1957, hanya 5 daripada 15 Menteri Kabinet adalah Datuk. Tan Siew Sin, Menteri Kewangan pada ketika itu hanya memegang status Keadilan Keamanan.
Malah Tunku Abdul Rahman sendiri tidak pernah dianugerahkan status pangkat penting walaupun sumbangan beliau kepada negara adalah tidak ternilai. 'Tengku' yang dibawa beliaupun kerana beliau berdarah diraja Kedah.
Pendekatan Baharu Penganugerahan Pangkat
Berbanding dahulu, anugerah pangkat kini turut diperolehi melalui pelbagai cara. Antaranya termasuklah melalui sumbangan sukan. Contohnya seperti Datuk Nicol Ann David melalui squash, Dato' Lee Chong Wei dan Datuk Misbun Sidek melalui badminton.
Selain sukan, sumbangan dalam bidang lain turut dihargai. Contohnya Datuk Sheikh Muzaphar Shukor sebagai angkasawan pertama negara, Dato' Azhar Mansor sebagai pelayar solo pertama negara, dan Dato' Abdul Malik Mydin sebagai rakyat Malaysia pertama merentasi the English Channel.
Kini, semakin ramai mereka daripada bidang hiburan yang turut menerima anugerah ini. Sekiranya mereka memang mengharumkan nama Malaysia dan berjasa, mereka wajar dirai. Contohnya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Tan Sri Michelle Yeoh.
Yang menjadi buah mulut rakyat Malaysia masa kini adalah sejauh manakah seseorang itu perlu berjasa untuk layak menerima pangkat Dato' atau Datuk ini?
Terdapat banyak kes di mana penerima pangkat tersebut adalah terlalu muda untuk mempunyai apa-apa sumbangan kepada masyarakat mahupun negara. Ada juga Dato' yang mempunyai latar belakang jenayah dan merupakan ahli kongsi gelap.
Kebanyakan daripada mereka kaya raya dan berkemungkinan membeli status tersebut. Adakah benar status Dato' kini dijadikan suatu perniagaan dan tidak lagi ekslusif?
Kesimpulan
Walaupun apapun status atau pangkat kita di dunia, hanya bekalan amalan soleh yang dibawa apabila kita meninggal kelak. Status, wang ringgit, rumah, kereta dan segala hal duniawi tidak boleh dibawa ke kubur. Darjat di sisi Allah adalah lebih penting.
Sedarlah setinggi manapun pangkat kita, mati kelak orang lain juga yang perlu kuburkan kita. Istilah kubur masing-masing tidak sah untuk diguna pakai. Hiduplah secara bersederhana. Banyak amalan ibadat. Sesungguhnya hidup itu hanya sementara.
Post a Comment