5 Filem Kehidupan Dalam Penjara Yang Pasti Membuatkan Anda Takut Jadi Banduan
Pengalaman merasai bagaimana diasingkan daripada kehidupan biasa, sama ada melalui lokap atau dalam penjara, pasti menjadi satu memori yang tak dapat dilupakan mana-mana individu yang pernah merasainya.
Bagi mereka yang lebih bernasib baik, tak pernah merasai pengalaman sama, terpaksalah kita bergantung kepada paparan penjara dalam filem atau drama semata-mata. Mungkin ada yang sama, tidak sama atau hanya sekadar fiksyen, namun kami pasti kehidupan dalam penjara dapat divisualisasikan dengan baik dalam filem. Filem mana?
Berikut adalah 5 filem berkait dengan kehidupan dalam penjara, bertaraf wajib tonton untuk mana-mana peminat filem, yang paling menghiburkan.
5. Starred Up
Filem ini kurang mendapat publisiti di negara kita kerana statusnya sebagai sebuah filem British. Mengisahkan tentang kisah seorang remaja bawah umur yang melakukan jenayah berat dan dihukum menjalani hukuman penjara sebagai seorang dewasa. Dengan ego yang tinggi serta perasaan amarah yang meluap-luap, remaja tersebut perlu belajar hidup baru di kalangan banduan lain. Dia bernasib baik kerana ayahnya juga salah seorang banduan di penjara sama. Namun berapa lama ayahnya mampu mempertahankan anaknya yang merasakan dirinya seakan raja, walaupun di penjara?
4. American History X
Filem ini mendapat pujian ramai atas lakonan dua Edward yang menjadi iaitu Edward Norton dan Edward Furlong. Memegang watak sebagai adik beradik, abangnya yang selama ini cukup terpesona dengan gerakan white supremacist berubah selepas dihumbankan ke dalam penjara. Pengalaman dalam penjara benar-benar membuka matanya tentang segala benda yang dia percayai ini, sehinggakan dia menjadi manusia lain selepas bebas. Jika anda tidak suka adegan rogol lelaki dengan lelaki, tolong jangan tengok filem ini.
3. The Green Mile
Filem ini mampu menyuraikan air mata sesiapa saja yang menontonnya. Kami rasakan, dalam kebanyakan filem, filem inilah yang memaparkan kehidupan penjara yang paling dekat dengan realiti. Filem yang cukup sunyi dan suram, dengan banduan-banduan hanya berusaha meneruskan hidup sambil cuba bertahan dengan sebarang perkara kecil yang berlaku, membuatkan kita pun mampu terbuai dengan emosi. Lakonan mantap Tom Hanks dan mendiang Michael Clarke Duncan sebagai John Coffey, banduan yang mempunyai kuasa misteri akan terus diingati sampai bila-bila. Filem ini merupakan antara karya Stephen King yang paling berjaya diterjemahkan ke dalam bentuk filem.
2. Shawshank Redemption
Jika The Green Mile membawa unsur mistik dalam penceritaan, karya Stephen King dalam Shawshank Redemption lebih bersifat realistik. Menceritakan tentang seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan yang dia percaya bukan dia lakukan, penonton akan mengikuti kisah hidup Andy dan rakan baiknya, Red dalam usaha mereka menjalani hidup normal dalam sebuah penjara. Filem ini menjadi topik perbincangan sehingga ke hari dan pengaruhnya ke atas filem-filem zaman moden tidak dapat dinafikan.
1. Blood In Blood Out
Kami sengaja meletakkan filem ini ditempat pertama kerana kami mahu anda tonton filem ini. Filem epik berdurasi 3 jam ini mengisahkan kisah hidup selama 12 tahun tiga orang pemuda bersaudara yang menjalani turun naik hidup, akibat pengaruh masyarakat mereka sendiri. Elemen kekeluargaan dan semangat setiakawan, serta pengorbanan yang diperlukan untuk memimpin menjadi tema besar filem epik ini. Terlalu banyak dialog yang diungkapkan dalam filem ini bertaraf ikonik. Yang penting, mesej tersirat yang cuba dipaparkan dalam filem ini haruslah dihayati oleh semua lapisan masyarakat, tak kira bangsa, agama atau keturunan.
Sumber - Iluminasi
Post a Comment