Perodua Myvi 2018 - apa itu "advance safety assist"?


Perodua Myvi 2018 yang telah diumumkan secara rasmi pengenalannya pagi semalam nampaknya ditawarkan dengan senarai kelengkapan dan spesifikasi yang sangat menarik dan berbaloi. Walaupun perincian lengkap berkaitan model berkenaan belum lagi didedahkan sepenuhnya, ada beberapa perkara yang sudah dapat kita lihat berdasarkan maklumat pada risalah awal yang telah dikeluarkan.

Sebagai contoh, paling minimum Myvi baru ini akan dilengkapi empat beg udara bagi varian 1.3L, manakala bagi varian 1.5L, ia akan hadir dengan enam beg udara. Ini belum ditambah dengan ciri lampu utama LED dan sistem tanpa kunci dan butang Push Start yang ditawarkan sebagai ciri standard bagi semua varian yang ada. Semua ini biasanya ditawarkan pada model kereta yang lebih premium, tentulah dengan harga yang berlipat kali ganda.

Tambah menarik bagi aspek keselamatan, Perodua Myvi 2018 generasi ketiga ini turut dilengkapi dengan ciri yang dikenali sebagai Advanced Safety Assist (ASA), atau dalam bahasa mudahnya, bantuan pemanduan selamat. Sistem ASA ini merupakan ciri sedia ada yang dibangunkan oleh Daihatsu; dipanggil Smart Assistdi Jepun.

Tapi, apa sebenarnya yang dilakukan oleh sistem ini? Sebagai permulaan, ia terdiri daripada empat sistem berbeza – Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB) (mirip kepada autonomous emergency braking, AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC). Sistem ini berfungsi menggunakan sebuah kamera yang terletak di belakang bahagian cermin pandang belakang.


Bila rangkaian sistem ini akan berfungsi? Secara ringkasnya, bagi PCW, ia akan mengeluarkan bunyi amaran dua saat sebelum sekiranya ia mendapati kenderaan anda sedang menghampiri kenderaan di depan dalam jarak yang tidak selamat. Ciri ini berfungsi dalam kelajuan dari 4 km/j hingga 30 km/j. Jika anda masih tidak melakukan apa-apa terhadap brek dan stereng, PCB pula akan diaktifkan.

Ia akan membrek kenderaan anda sehingga berhenti sepenuhnya dan ciri ini berfungsi sama seperti apa yang dilakukan oleh autonomous emergency braking (AEB). Ia berlangsung dalam dua peringkat; 1.3 saat sebelum perlanggaran dengan aplikasi brek sederhana dan kemudian 0.8 saat sebelum perlanggaran dengan brek kuat. Tapi, apa yang pemandu dan penumpang akan rasa ialah satu brek yang agak kasar sebelum kereta berhenti.

Bagi FDA pula, ia akan membunyikan amaran sekiranya kenderaan di depan sudah bergerak dan anda masih lagi tidak berbuat apa-apa. Bayangkan ketika berhenti untuk lampu merah, dan anda membelek telefon dan tidak perasan kereta depan sudah mula bergerak. Sistem ini akan memaklumkan pemandu terhadap situasi seperti itu.

Terakhir, PMC pula akan bertindak untuk mengesan halangan pada laluan dihadapan (dalam jarak empat meter). Dalam keadaan itu, ia tidak akan membenarkan pemandu untuk menambah kelajuan walaupun pedal minyak ditekan. Ciri ini juga sangat berguna misalnya dalam situasi parkir kenderaan – ia akan mengelakkan situasi yang lebih teruk sekiranya pemandu tersilap memijak pedal (pedal minyak dan bukan brek seperti yang sepatutnya). Bunyi mungkin melucukan, tetapi perkara ini benar-benar terjadi di dunia nyata.


Dah nama pun teknologi, mesti ada perkara yang terhad. Kamera stereo yang digunakan ini hanya mengesan bentuk kereta dan perlu padanan paling kurang 60% untuk sistem ini berfungsi. Sudut penglihatan yang diliputi ialah 40 darjah melintang dan 20 darjah menegak, dengan kualiti imej 1280 x 960 pixels. Ia boleh melihat sehingga 60 meter ke depan. Bagaimanapun, dalam cuaca hujan atau berkabus, ia tidak akan dapat mengesan dengan baik.

Ini menjadikan Myvi 2018 satu-satunya kereta di bawah RM100k yang mempunyai ciri-ciri keselamatan aktif seperti ini. Selain Myvi ini, paling murah boleh didapat ciri seperti AEB adalah pada Hyundai Ioniq (RM114k), Mazda 3 spesifikasi tinggi (RM125k) dan Peugeot 308 spesifikasi tinggi (RM128k) – walaupun sistem yang ada pada Myvi ini bukanlah yang paling maju dalam kalangan berkenaan.

Dari segi fungsinya, ASA ini bolehlah dianggap sebagai versi yang lebih ringkas bagi Honda Sensing yang ditawarkan pada model CR-V 2017 dan Accord 2.4 Advance yang diperkenalkan kelmarin.

Jadi, apa pandangan anda tentang ciri berkenaan, adakah ia cukup menarik dan berguna? Tambahan pula pada harga ia ditawarkan, ini tentunya sesuatu yang dapat memberi manfaat kepada pengguna dan harapnya boleh mendidik pemandu untuk lebih bertanggungjawab ketika dijalan raya.

No comments