'Aku pukul anak sampai lembik biarpun dia menangis dan meraung' - Isteri tertekan, suami abai tanggungjawab
“Aku pukul anak sulung hingga lembik dan aku tak peduli anak aku menangis dan meraung. Aku seakan dirasuk syaitan! “
Apabila melayari bahtera perkawhinan, suami dan isteri harus mempunyai sikap saling bantu-membantu di dalam menguruskan kerja-kerja rumah dan bukannya memberikan sepenuhnya tanggungjawab tersebut kepada isteri.
Si suami perlu memahami penat dan lelah seorang isteri yang bukan sahaja menguruskan rumah, malah menjaga anak-anak. Seorang isteri juga mempunyai keinginan untuk dihargai setelah berpenat lelah menguruskan rumah tangga.
Seorang confessor di Facebook Kisah Rumah Tangga Fans meluahkan rasa kesalnya dengan sikap suaminya yang tidak menghiraukan soal rumah tangga. Akibat penat dan tekanan yang tidak tertanggung olehnya, dia telah mencederakan anaknya.
Dia juga mendakwa suaminya sering memberikan alasan sibuk dan tiada masa apabila dia mengajak suaminya keluar bersama dengan anak-anak sedangkan suaminya mempunyai masa ketika keluar bersama rakan-rakan. Kehidupannya hanyalah sebagai seorang suri rumah, peniaga kuih dan bisnes online serta dia tidak mempunyai kawan-kawan malahan keluarganya tinggal jauh darinya.
BISMILLAHIROHMANIROHIM. Assalamualaikum semua ibu dan terima kasih admin jika siarkan cerita saya.
Hari ini, anak sulung aku umur dua tahun demam panas. Budak bila tak sihat meragam tak tentu. Anak kedua aku turut demam, umurnya tiga bulan. Aku merupakan seorang surirumah tangga tapi ada buat kerja sambilan online dan bisnes kecil-kecilan jual kuih. Suami aku? Kerja sendiri.
Hari ni dalam sejarah hidup aku teramat menyesal dengan tindakan bodoh aku. Ya, aku terlalu penat uruskan semua hal rumahtangga sendiri. Dari hujung rambut hingga hujung kaki, semuanya sendiri. Suami?? Tak pernah dia peduli walaupun aku pernah berbincang bersama.
Aku pukul anak sulung hingga lembik dan aku tak peduli anak aku menangis dan meraung. Aku seakan dirasuk syaitan! Ya Allah ampunkan aku, Ya Allah. Wahai anakku, ampunkan ibu mu yang kejam ini! Aku jadi begini sebab aku terlalu banyak memendam, simpan, sabar dan tak mampu untuk berkata-kata dengan suami. Aku terlalu penat.
Bila bercakap dengan suami minta tolong uruskan dan ringankan tulang untuk bantu aku buat kerja rumah, walaupun hanya basuh pinggan sendiri selepas makan mahupun kemas tempat tidur, buang sampah pun hanya sia-sia. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Suami aku tinggalkan aku dan anak semata-mata hanya ingin berseronok bersama kawannya ke Thailand. Mereka konvoi beramai-ramai untuk event di Songkran sempena pesta air di sana. Tetapi setiap kali aku ajak keluar bersama dengan anak-anak, dia hanya mampu kata dia sibuk dan tiada masa. Tetapi, masa untuk dia dan kawan-kawan sentiasa ada.
Sebagai isteri, aku hanya mampu diam walaupun aku sudah tegur dan ajak berbincang. Akhirnya aku juga yang dipersalahkan.
Rutin harian aku duduk rumah bersama anak dan uruskan segala hal berkenaan rumah tangga tanpa bantuan sesiapa. Family mertua jauh dan family sendiri pun jauh. Aku tiada kawan, aku hanya di rumah bersama anak-anak.
Anak aku demam dari semalam dan aku ternampak anak aku menelan kertas. Aku seperti orang yang meroyan, aku terus pergi menjolok tekak anak untuk keluarkan kertas tu guna berus gigi anak. Oleh kerana anak sudah ada gigi, aku takut anak gigit jari aku, jadi aku gunakan berus gigi dia.
Keadaan aku sudah tidak terurus. Selama dua hari ini jaga anak demam panas dan melayan kerenah meragam anak, aku tak tidur, makan minum aku tak tentu. Aku hanya sempat mandi pun waktu subuh sahaja. Aku lepaskan amarah pada anak. Aku lempang, aku tolak, aku cubit dan heret anak sehingga dia lembik.
Ya Allah, aku tak sedar apa yang merasuk diri ini. Aku menangis semahu-mahunya dalam bilik air sambil memegang pisau sebab aku dah perlakukan anak yang aku kandung dan melahirkan seperti binatang. Ampunkan ibu nak!! Ampunkan ibu!! Sumpah aku tak tahu kenapa aku boleh buat anak aku macam itu sedangkan selama ini aku tak pernah naik tangan dengan anak.
Syukur alhamdulillah, aku bawa anak-anak pergi klinik dan doktor sahkan anak aku tak ada yang serius. Aku peluk, aku cium dan aku sujud dekat anak minta ampun dari anak.
Kepada suami, terima kasih wahai suami. Jika Allah tak detik kan hati aku untuk berhenti tadi, mungkin nyawa anak atau diri sendiri yang lenyap. Kepada anak-anakku, ibu janji tak akan buat perangai seperti itu lagi. Itulah kali pertama dan kali terakhir. Ibu cuma ada anak-anak demi kebahagiaan ibu. Ibu dan ayah dah jauh. Ibu akan kuat demi anak-anak. Anak -anak ibulah nyawa cinta hidup mati ibu. Ampunkan ibu, nak!
Sumber - The Reporter
Post a Comment