Ribuan serbu Apple murah tapi ramai putih mata
Peminat barangan elektronik jenama Apple berputih mata apabila penganjur jualan gudang membatalkan perniagaan mereka hari ini.
Ia susulan kehadiran ribuan pelanggan yang mula beratur sejak jam 2 pagi di pusat beli-belah Mytown, Cheras walaupun kedai itu beroperasi pada jam 10.00 pagi.
Menerusi beberapa video yang tular di media sosial, pelanggan itu dilihat beratur panjang sejauh 850 meter sehingga ke bahu jalan hanya bagi mendapatkan barangan elektronik itu.
Malah ada pelanggan yang berang kerana penganjur dikatakan beberapa kali menukar tempat barisan pelanggan.
daripada itu, penganjur jualan gudang itu, Swith terpaksa membatalkan acara berkenaan atas sebab keselamatan.
“Disebabkan faktor keselamatan, kami kesal dan ingin memaklumkan bahawa Switch dan Mytown Management memutuskan untuk menghentikan operasi Switch pada hari ini.
“Keselamatan anda adalah keutamaan kami. Jaga keselamatan dan keluar dengan cara yang teratur,” kata Switch dalam kenyataannya pada hari ini.
Jualan gudang yang bermula hari ini sehingga Ahad di Pusat membeli belah MyTown itu menjual barang pameran (demo item) kepada pengunjung dengan harga yang jauh lebih murah.
Jualan gudang itu antaranya menawarkan telefon bimbit Apple model 6s dengan simpanan data 16 gigabait dengan harga RM600 berbanding harga asalnya RM2,249.
Apple TV pula harga yang ditawarkan hanya RM100 berbanding harga asalnya RM849.
Berdasarkan senarai, jumlah barang ditawarkan terhad antara satu hingga 18 produk sahaja bagi setiap produk. Bagaimanapun pelanggan hanya dibenarkan membeli dua barangan sahaja daripada jualan gudang itu memandangkan kuantitinya sangat terhad.
Sementara itu mengikut semakan Malaysiakini di Facebook Switch, rata-rata netizen melahirkan rasa tidak puas hati mereka berhubung insiden berkenaan.
"Penganjur yang teruk, ada yang tidak mahu beratur, buang masa saya yang beratur sejak jam 4 pagi," kata Eugene Kok.
Sumber : Malaysiakini


Post a Comment