Ugut jiran guna pedang samurai

DUNGUN - Video pergaduhan antara jiran yang turut membabitkan ugutan menggunakan senjata dipercayai pedang samurai di sebuah kawasan perumahan di Paka tular di laman sosial, Facebook sejak dua hari lalu.


Perbalahan di antara dua keluarga itu dipercayai berpunca daripada pergaduhan anak-anak yang membawa kepada masuk campur ibu bapa.


Video berdurasi 1.34 minit itu tular apabila dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook dan kemudiannya dikongsi pengguna lain.


Pelbagai reaksi negatif diterima dan tidak kurang netizen yang mengecam kerana menganggap perkara sedemikian amat memalukan.


Di dalam video tersebut juga seorang individu yang juga merakam pergaduhan itu ada menyebut laporan polis sudah dibuat berkait rasa tidak puas hati sebelum ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi memaklumkan ada menerima laporan tentang kes tersebut.



"Suspek hadir membuat laporan polis kira-kira jam 4 petang hari ini. Sebilah pedang samurai yang dijadikan perhiasan turut diserahkan oleh seorang lelaki kepada pihak polis," katanya.


Pedang samurai hiasan yang digunakan sudah diserahkan kepada pihak polis. Beliau berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan sudah dibuka dan yang terlibat boleh dikenakan tindakan.


"Mereka yang terlibat sudah diambil keterangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman di bawah Sek 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual,"katanya.


Sumber : Sinar Harian


No comments