Suzy cantik berkerudung, selendang jenama Indonesia jadi bualan


BINTANG terkenal Korea Selatan, Bae Suzy dihadiahkan sehelai selendang oleh peminatnya dalam satu acara bertemu peminat, hujung minggu lalu.


Menerusi laman Instagram, seorang peminat dengan nama @baesuzy_ina berkongsi sebuah video di mana seorang peminat Suzy dari Indonesia, berkesempatan bertemu Suzy dalam satu acara bertemu peminat sebagai rangka promosi album terbaharunya, Faces of Love, di sebuah pusat beli-belah di Seoul, Korea Selatan.


Dalam pertemuan itu, peminat wanita itu menghadiahkan sehelai selendang dengan corak yang hampir sama seperti yang dipakainya, kepada Suzy. Suzy nyata gembira dengan pemberian itu, dan meminta wanita itu memakaikan selendang itu kepadanya.


Video itu tular di Indonesia, sekaligus menaikkan 'saham' selendang itu. Ramai mula mencari selendang dari jenama lokal Indonesia, Hijab Princess itu. Laporan portal detik.com menyebut, permintaan untuk selendang itu semakin meningkat selepas Suzy mengenakannya.


"Skaf Sakura yang dihadiahkan kepada Suzy itu sudah berada di pasaran sejak 2016 lagi. Ia antara produk signature kami dan mendapat permintaan yang baik.


"Tapi sejak Suzy memakainya, permintaan melonjak tinggi. Tapi kami tidak akan mengeluarkan selendang itu lagi selepas ini dan yang masih ada dijual sekarang, hanya baki daripada 10,000 yang dikeluarkan," kata wakil Hijab Princess kepada portal tersebut.


Sumber : Awani

No comments