'Semenjak Ayah Berpoligami, Hidup Keluarga Kami Berubah Dan Dia Banyak Mengeluh Mengenai Kewangan' - Cerita Realiti Poligami
Di mulut dan di depan hakim, dia berjanji akan berlaku adil kepada isteri pertama dan isteri kedua. Namun janji-janji itu entah ke mana apabila si lelaki mula terasa beban selepas mempunyai keluarga kedua.
Ini adalah realiti hidup berpoligami. Bukan bertujuan menakutkan, tetapi sekadar berkongsi pengalaman dari seorang anak yang melihat bapanya berpoligami yang akhirnya berlaku tidak adil pada isteri pertama. Semoga anda yang mempunyai hasrat untuk berpoligami berfikir sebaik-baiknya agar keputusan yang diambil tidak membebankan orang lain.
KETIKA aku berumur 16 tahun, aku mendapat tahu yang ayah ada perempuan simpanan dan masa itu juga mak dan ayah dalam usia lewat 40-an. Sepatutnya pada waktu itu mereka sudah berfikir apa yang mereka nak buat selepas berpencen. Tetapi tidak pada ayah aku.
Ayah terlalu cintakan kekasihnya sampai nak dijadikan sebagai isterinya yang kedua. Tetapi tanpa dia sedari, dia telah membuat keputusan yang akan membebankan dirinya dan keluarga. Ini adalah cerita realiti poligami pada usia tak berapa muda.
Ayah dan ibu seringkali turun naik mahkamah. Ayah mahu berpoligami tetapi ibu membantah. Dan akhirnya ayah menang kes ini di mana dia berjanji di depan hakim yang dia mampu dan akan berlaku adil.
Semenjak dari itu, hidup kami berubah. Ayah ada jadual untuk tidur di rumah yang mana dan kami mula nampak janji-janji dia untuk berlaku adil memang langsung tidak ditepati. Dia banyak membelanjakan duitnya ke arah isteri nombor dua.
Isteri kedua kemudian melahirkan tiga orang anak. Dengan isteri pertama iaitu ibu kami pun ada tiga orang anak. Jangan ditanya perbezaan umur. Memang 20 tahun beza umur kami dengan adik-adik kecil itu.
Isteri kedua tidak bekerja dan menjadi surirumah sepenuh masa menjaga tiga orang anaknya itu. Ayah pula memang 100% tanggung keluarga yang kedua.
Mereka selalu keluar berdua dan bila mereka keluar berdating, anak-anak mereka ditinggalkan dengan ibu, minta isteri pertama menjaga mereka. Tetapi dengan ibu, ayah jarang sekali nak bawa pergi berdating. Malam valentine, ayah siap bawa isteri kedua dinner dan tinggalkan anak-anaknya di rumah isteri pertama. Di mana janji-janji dia kononnya akan berlaku adil?
Ayah selalu mengeluh tentang kewangan, maklumlah isteri kedua boleh tahan tinggi maintenancenya. Sewa rumah, bil dan sekolah anak-anak keluarga kedua semakin membebankan ayah. Seringkali ayah mengeluh dengan anak-anak dia yang sudah dewasa ini iaitu kami, untuk membantu dia dengan rumah keluarga pertama ini.
Dengan erti kata lain, ayah mahu melepaskan tanggungjawab dia pada keluarga pertama supaya dia boleh menjaga keluarga kedua. Dia semakin penat memikirkan duit dan semakin banyak mengeluh.
Umur untuk pencen pula semakin dekat, dan itu yang membuatkan ayah semakin runsing. Anak-anak hasil dari perkahwinan pertama semakin dewasa. Mereka sudah mula berkahwin dan mempunyai anak mereka sendiri.
Ayah telah memilih jalan hidup yang bakal buat semua orang susah. Bukan saja dia telah membebankan dirinya, dia juga telah membebankan anak-anak pertamanya untuk memikirkan hal adik-adik kecil yang baru mula bersekolah sedangkan mereka sendiri baru nak memulakan keluarga.
Bukan itu sahaja, ayah akan menyusahkan anak-anak kecilnya juga. Ayah mungkin dah tak ada semasa mereka masuk sekolah menengah atau semasa mereka masuk universiti. Siapa yang mahu membiayai semua itu?
Anak-anak yang pertama ini akan ada keluarga sendiri dan sudah kena berfikir untuk anak mereka sendiri. Bagaimana dengan hidup anak-anak kecil dari keluarga kedua itu? Mereka akan rasa susah di kemudian hari kerana bapanya sudah tiada untuk menyara mereka. Yang boleh membantu mereka hanyalah adik beradik tuanya dari keluarga pertama.
Tetapi persoalannya ialah, mampukah mereka menyara adik-adik kecil sekali dengan keluarga mereka?
Masa akan berlalu, penyesalan mungkin akan berlaku. Tetapi pada masa itu semuanya dah tak boleh diubah. Kita dah tak boleh kembali ke masa lalu. Semua orang terpaksa juga mengharunginya, terpaksa hidup dengan apa yang telah terjadi.
Wahai lelaki yang teringin nak berkahwin lagi, fikirlah jauh terutamanya usia dah menjangkau 40 tahun. Waktu itu patutnya korang dah fikir nak berehat di umur 50 tahun. Bukannya menambahkan lagi tanggungjawab dan beban.
Sekejap saja syok bercinta itu, bila anak hasil dari perkahwinan kedua itu sudah bersekolah, baru korang akan rasa susah dan bebannya hidup. Malah korang juga akan tempiaskan kesusahan korang itu pada ramai lagi orang.
Sumber - JN, IIUM Confessions & The Reporter
Post a Comment