Remaja diliwat, dibakar, dipukul hingga mati teman lelaki ibu
IBU jenis apa yang sanggup melihat darah daging sendiri didera hingga tidak lagi bernyawa di depan mata. Namun itu hakikat yang berlaku di Santa Fe, New Mexico, Amerika Syarikat.
Jeremiah Valencia, 13 tahun, mangsa terbaharu kecelaruan institusi keluarga di negara Uncle Sam itu, mati dalam keadaan sungguh menyentuh hati. Remaja itu dirogol, dibakar dan dipukul hingga mati oleh teman lelaki ibu kandungnya sendiri.
Mayatnya ditemui dalam keadaan memakai lampin pakai buang dewasa di dalam tong penyimpanan barang beberapa kilometer dari kediamannya hujung Januari lalu. Peguam Wilayah Santa Fe, Marco Serna, dalam sidang medianya menyifatkan kes tersebut yang paling menyentuh perasaan yang pernah dikendalikannya.
“Dia diletakkan di dalam rumah anjing selama beberapa jam tanpa makanan. “Saya sangat marah terhadap tragedi ini dan akan lakukan segala yang mungkin bagi mendapatkan keadilan buat anak yang tidak bersalah ini,” kata Serna.
Thomas Ferguson, 42 tahun, telah ditahan dan didakwa atas tuduhan bunuh dan 17 dakwaan lain, termasuk culik dan dera. Turut ditahan, ibu mangsa Tracy Ann Pena, 35 tahun, dan Jordan Nunez, 19 tahun, anak lelaki Ferguson. Kedua duanya didakwa atas tuduhan mendera hingga membawa kematian.
Menurut Pena, dia dipaksa untuk mengalihkan mayat anaknya dan terpaksa mengunci mulut kerana takutkan teman lelakinya itu. Perkara itu bagaimanapun terbongkar selepas dia memberitahu banduan lain mengenai perkara itu ketika ditahan bagi kes jenayah berasingan yang membawa kepada operasi mencari mangsa.
Nunez pula mendedahkan, dirinya juga pernah menjadi mangsa dera ayahnya ketika kecil. Sementara itu, kakak kepada mangsa memaklumkan kepada anggota penyiasat, Nunez dan Ferguson telah membersihkan mayat Jeremiah di dalam tab mandi sejurus dia dibunuh. Bagaimanapun, kesan darah ditemui di bilik tidur pasangan terbabit.
Sumber : Awani
Post a Comment