'Mengapa 4G Malaysia antara paling lembap di dunia?

PKR menuntut penjelasan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak kenapa liputan 4G Malaysia dilaporkan antara paling lembab di dunia.


Pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil juga mahu tahu tindakan lanjut kerajaan bagi mengatasi masalah itu, susulan laporan pakar pemetaan liputan tanpa wayar OpenSignal semalam.


“Pengguna perkhidmatan 4G di Malaysia sepatutnya menikmati kelajuan yang jauh lebih baik berbanding apa yang ada sekarang,” kata pemimpin muda PKR itu.


“Pihak kerajaan perlu segera tangani isu kelajuan ini, untuk memastikan infrastruktur internet tanpa wayar di Malaysia dipertingkat seiring niat negara memanfaatkan sepenuhnya Revolusi Perindustrian 4.0.”


Memetik OpenSignal, Fahmi berkata, laporan “The State of LTE” menyebut purata kelajuan talian 4G di Malaysia adalah 14.83 megabit per saat (Mbps).


Kelajuan itu, menurutnya, antara terendah di kalangan 88 negara yang dikaji.


Laporan itu menyatakan bahawa kelajuan talian 4G di Malaysia jauh di belakang negara-negara jiran Singapura, Vietnam, Brunei dan Myanmar. “Jika benar, ini bukanlah satu rekod atau pencapaian yang membanggakan,” katanya.


“Pada ketika Malaysia mempunyai kadar penembusan 4G hampir 75 peratus, lembabnya kelajuan 4G di Malaysia berbanding banyak negara jiran amat mendukacitakan.”


Sumber : Malaysiakini


No comments