Kesian pakcik...
WARGA emas terpaksa berdiri hampir dua jam selepas kakinya tersangkut di dalam lumpur ketika mendaki Bukit Kayu Ara, Seremban, sebelum berjaya diselamatkan bomba, malam tadi.
Lelaki berusia 66 tahun terbabit dikatakan beriadah bersama beberapa rakannya, namun mangsa bergerak perlahan dan tertinggal di belakang.
Bagaimanapun, kehilangan mangsa disedari apabila dia tidak tiba di kaki bukit sehingga lewat malam menyebabkan rakan menghubunginya dan dia memaklumkan kaki tersangkut dalam lumpur sebelum mereka menghubungi bomba.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Munawir Md Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.41 malam dan sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota segera ke lokasi.
“Pencarian dijalankan sejauh tiga kilometer dan kami menemui mangsa pada 10.15 malam dengan bantuan cahaya telefon bimbitnya kerana kawasan itu agak gelap.
“Mangsa tidak dapat bergerak kerana kakinya tersangkut dalam lumpur sehingga paras betis. Mangsa dapat dikeluarkan dan dia tidak cedera cuma keletihan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, pencarian turut dibantu oleh lima anggota polis dan mangsa berjaya dibawa turun ke kaki bukit pada 10.50 malam.
Sumber : HMetro
Post a Comment