Kereta polis bertulisan Cina hanya untuk penggambaran
Susulan isu dua buah kereta polis model Proton Preve bertulisan Cina yang tular di media sosial, Polis Diraja Malaysia hari ini tampil menjelaskan kenderaan itu hanya untuk tujuan penggambaran sebuah filem di Putrajaya.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad berkata filem untuk tayangan di China itu bertajuk The Original Sin yang mengisahkan kehidupan seorang pegawai polis di bandaraya rekaan Han City.
Beliau berkata demikian selepas sebuah laman Facebook menyiarkan gambar dua kereta polis dengan membangkit persoalan mengenai lambang bertulisan Cina pada kenderaan berkenaan.
“PDRM memandang serius dakwaan dan persoalan yang dibangkitkan di Facebook page tersebut kerana ia jelas sekali berniat serong dan cuba membangkitkan persepsi negatif terhadap agensi kerajaan.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk berhemah dan berhati-hati dalam menggunakan platform sosial media serta mengelakkan daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh menjurus kepada fitnah," jelasnya dalam satu kenyataan.
Semalam Facebook Mahathir The Legend memuat naik posting berserta gambar kedua-dua kereta itu dengan status berbunyi:
“Kita tak mahu nak cakap lebih tapi kita nak tanya, ini apa? Banyak negara lain yang invest (melabur) dalam negara tapi kita tak nampak langsung ada kereta lambang polis negara tersebut,” kata status itu.
Selain itu, Facebook itu juga turut mempersoalkan keistimewaan China sehingga mendapat kelebihan tersebut.
Sementara itu, Asmawati menyeru semua pihak agar menggunakan platform sosial media dengan cara yang berhemah.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang status tanpa terlebih dahulu mendapat maklumat yang sahih kerana ia boleh membawa implikasi negatif terhadap pihak-pihak tertentu.
“Jadilah pengguna yang berhemah, bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan mana-mana platform sosial media atau rangkaian komunikasi untuk menyebar perkara-perkara yang boleh membangkitkan kegusaran masyarakat,” katanya.
Sumber : malaysiakini
Post a Comment