Jutawan menyamar sebagai gelandangan

FLORIDA, Amerika Syarikat – Seorang jutawan bertindak menyamar sebagai gelandangan semata-mata untuk melihat cara layanan pekerja restoran mewah terhadap golongan berkenaan baru-baru ini.


Dalam satu klip video berdurasi tiga minit, bintang YouTube, Coby Persin, 23, yang mempunyai nilai kekayaan AS$1.5 juta (RM5.8 juta) dirakam berpakaian selekeh sambil membawa plastik sampah menuju ke sebuah restoran mewah, dekat sini.


Ketika bertanya tempat untuk duduk dan senarai menu kepada seorang kakitangan restoran yang berdiri di luar premis tersebut, Persin telah dilayan dengan buruk selain dihalau dari sana.


Kakitangan itu didengari berkata, harga di restoran itu sangat mahal dan menganggap Persin tidak akan mampu membayarnya.


“Bolehkah kamu beredar dari sini. Anda boleh makan di McDonald’s, terdapat pelbagai pilihan di sana tetapi bukan di sini,” kata pekerja restoran tersebut.


Bagaimanapun, pekerja itu terkejut besar apabila Persin meminta rakannya, Ronaldo membawa kereta mewah Rolls Royce selain turut menunjukkan satu beg bimbit yang mengandungi sejumlah wang.


Sumber : Agensi


No comments