Janda cari 'pelanggan' di WeChat

MAMPU meraih pendapatan kasar antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan, janda anak tiga menggunakan WeChat bagi mempromosikan khidmat pelacuran kepada lelaki hidung belang.


Berkongsi gambar bogel dan seksi serta video sendiri di WeChat antara modus operandi suspek berusia 40 tahun itu bagi mencari pelanggan.


Bagaimanapun, kegiatan suspek terbongkar selepas dia ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, 11.15 malam di sebuah hotel di Kuala Terengganu kelmarin.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, wanita terbabit dikatakan mempromosikan perkhidmatannya melalui WeChat dengan bayaran antara RM200 hingga RM250 yang mana pelanggan perlu membuat bayaran pendahuluan terlebih dahulu secara atas talian.


Katanya, baki bayaran akan dilunaskan pelanggan di dalam bilik sebelum mengadakan hubungan seks dan suspek mencari pelanggan dengan bergerak sendiri menaiki bas ke seluruh Semenanjung Malaysia kecuali Perlis.


"Wanita terbabit mendakwa melakukan aktiviti berkenaan sejak 2016 untuk menyara anak dan keluarganya.


"Pihaknya turut merampas barangan seperti 33 keping kondom, dua unit telefon bimbit dan wang tunai RM400," katanya.


Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim@Isa membenarkan suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan.


Sumber : HMetro


No comments