Bagaimana Angkasawan Membuang Air Ketika Memakai Sut Angkasa?

Kami diajukan soalan di atas selepas salah satu artikel kami cuba menjawab bagaimana angkasawan menggaru ketika memakai sut angkasa.


Seronok sebenarnya memikirkan bagaimana angkasawan memerlukan kaedah yang berlainan berbanding apa yang hari-hari kita lakukan di bumi. Kita sudah tahu, andainya ada cecair yang dilepaskan dalam keadaan graviti sifat, cecair itu akan terapung di udara jika dibiarkan.


Ini bermakna, untuk melakukan proses perkumuhan di kawasan bergraviti sifar pun memerlukan penyelidikan yang tinggi dan sulit. Setakat ini, semua solusi kepada masalah ini hanyalah penyelesaian sementara dan teknologi yang digunakan pula, amatlah primitif sekali.


PAMPERS ANGKASA?

Bagi menyelesaikan masalah terkucil di kalangan angkasawan yang pastinya akan berlaku, sejenis pakaian yang digelarkan MAG atau maximum absorbency garment dicipta oleh NASA. MAG digunakan setiap kali proses berlepas, mendarat dan sebarang bentuk aktiviti yang memerlukan angkasawan mengenakan sut angkasa.


Bagaimanapun, penggunaan MAG yang menyerupai lampin orang dewasa yang besar ini jarang digunakan. Ini kerana kebiasaannya, angkasawan akan melakukan dulu proses perkumuhan sebelum mengenakan sut angkasa. Angkasawan juga adalah individu terlatih yang mampu mengawal kadar pengambilan cecair ke dalam badan mereka, melalui bekalan air yang disimpan dalam sut.


Walaupun begitu, jika keadaan memaksa, angkasawan tidak perlu risau kerana MAG memang diwajibkan untuk dipakai setiap kali sebelum sut dipakai. MAG dipakai seperti seluar pendek apabila pemakaiannya diperlukan dan mampu menyerap sebanyak 2 liter cecair. Bahan penyerap MAG diperbuat daripada sodium polyacrylate, mampu menyerap sehingga 500 ke 1000 kali saiz partikelnya dan jumlah maksima yang mampu ditampung, adalah sebanyak 2 liter.


Sebagai rujukan, kebiasaannya kita akan mengeluarkan 50ml hingga 400ml cecair setiap kali kita kencing. Walaupun nama MAG itu kelihatan canggih, teknologi yang sama sebenarnya sama saja dengan lampin pakai buang bayi - cuma namanya sedap sikitlah.


SEJARAH MAG

Sebelum pengenalan MAG, NASA menggunakan satu solusi yang mempunyai idea sama cuma pendekatannya berbeza yang dinamakan DACT atau Disposable Absorption Containment Trunk. Dalam beberapa misi, angkasawan akan mengenakan DACT yang menyerupai satu kantung yang dilekatkan, mempunyai salur atau hos yang akan mengalirkan dan mengumpul sisa perkumuhan.


Oleh kerana pada awalnya semua angkasawan adalah orang lelaki, alat tersebut dicipta khas untuk lelaki khasnya mengikut kesesuaian dengan bentuk zakar lelaki. Ini menjadi satu masalah apabila angkasawan wanita mula menyertai misi-misi ke angkasa.


Bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh DACT, NASA mengumumkan pada tahun 1988 yang semua unit DACT akan ditamatkan operasinya dan digantikan dengan MAG yang lebih mudah dikenakan.


Angkasawan tak kiralah lelaki atau wanita sekalipun menyambut baik pertukaran ini, kerana MAG dibuktikan lebih selesa serta tidak mudah bocor berbanding DACT.


KISAH ALAN SHEPARD JR.

Tidak ada sesiapa mahu menjadi pemegang rekod ini, namun rekod ini tetap akan jatuh pada seseorang. Angkasawan yang tidak bernasib baik menjadi manusia pertama kencing dalam sut angkasa adalah seorang angkasawan bernama Alan Shepard. Kisah Alan Shepard Jr. ini agak melucukan kerana ia berlaku pada tahun 1961, semasa pelancaran misi Freedom 7.


Semasa menantikan pelancaran roketnya, Alan menghadapi masalah perlu kencing yang amat sangat ketika duduk di dalam kapal angkasa beliau. Menghadapi masalah teknikal ketika menunggu pelancaran sehingga terpaksa menunggu berjam-jam, Alan terpaksa mengumumkan kepada pusat kawalan berkenaan masalah beliau.


Berdepan dilema sama ada mahu menangguhkan pelancaran dan membenarkan Alan membuka sut, pusat kawalan risau andainya air kencing yang dilepaskan Alan akan menyebabkan kerosakan pada alat pengesan kesihatan yang dipasang pada badan Alan, sehingga berlakunya litar pintas.


Tidak ada jalan lain, Alan dibenarkan untuk melepaskan hajat dalam sut beliau, dengan kebenaran khas diberikan untuk mematikan pengesan kesihatan - ketika itu belum wujud alat serupa DACT atau MAG. Alan menjadi individu Amerika pertama ke angkasa dan menjadi manusia pertama kencing dalam sut, semasa pelancaran roket. Satu rekod yang masam-masam manis.


Insiden kecil itu menyebabkan kemaluan besar pada NASA yang dikritik terlepas pandang perkara itu tanpa apa-apa persediaan. Ini memaksa NASA mencipta kaedah bagi mengelakkan perkara sama berlaku dengan penambahbaikan kepada bermacam jenis alat dilakukan, sebelum alat berbentuk lampin jugalah yang didapati paling sesuai digunakan sehingga kini.


SISTEM BADAN HILANG KAWALAN UNTUK BERFUNGSI

Dalam buku 'Packing for Mars,' penulis saintifik Mary Roach memberitahu kesan graviti sifar pada badan sebenarnya memberi kesan pada sistem perkumuhan kita juga. Oleh kerana wujudnya graviti di bumi, cecair dalam badan kita akan ditarik ke bawah dan kumpulan cecair ini akan dapat dikesan oleh pundi kencing, untuk dikeluarkan.


Bagaimanapun, oleh kerana situasi di angkasa berbeza, badan kita hilang daya untuk mengesan kapasiti cecair yang diperlu dikeluarkan secara automatik, jadi ada kemungkinan angkasawan menghadapi kesukaran untuk kencing kerana saluran urethra tidak diaktifkan untuk kencing, walaupun cecair dalam badan sudah sepatutnya dikeluarkan.


Bagi mengelakkan masalah ini melanda angkasawan, setiap angkasawan dilatih untuk kencing setiap 2 jam sekali bagi memastikan tidak berlaku masalah kesihatan pada mereka.


Sumber : Iluminasi


No comments