Wanita Ini Ditahan Daripada Menaiki Pesawat Kerana Wajahnya Tidak Sama Seperti Gambar Pada Kad Pengenalan

Melakukan pembedahan plastik ke atas tubuh badan adalah hak individu. Namun, jika anda telah melakukan perubahan yang drastik, jangan lupa untuk mengemaskinikan kad pengenalan anda!


Seorang wanita China dihalang daripada menaiki pesawat baru-baru ini kerana wajahnya kelihatan tidak sama seperti gambar pada kad pengenalannya.


Zhang yang berusia 28 tahun itu telah berhenti di pemeriksaan keselamatan namun dimaklumkan bahawa sistem pengenalan muka stesen tidak dapat mengenal wajahnya.


Zhang memberitahu Chengdu Business Daily bahawa dia telah cuba menerangkan kepada pegawai keselamatan tersebut bahawa dia telah melakukan pembedahan plastik namun penerangan itu tidak diterima. Pegawai keselamatan tersebut berkeras mahu membawa Zhang ke balai polis untuk mengesahkan identitinya.


Zhang terpaksa meluangkan masa selama empat jam untuk membuktikan identitinya kepada pihak berkuasa sehingga menyebabkan dia terlepas penerbangan dari Chengdu ke Shanghai dan terpaksa membatalkan tiketnya dengan kos RM732. Akhirnya, Zhang terpaksa mengambil kereta api untuk meneruskan perjalanannya ke Shanghai.


Semoga kisah ini menjadi pengajaran kepada semua orang terutamanya bagi mereka yang telah melakukan pembedahan plastik.


Polis turut mencadangkan kepada mereka yang melakukan perubahan drastik terutamanya terhadap wajah mereka supaya segera mengemaskinikan kad pengenalan bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang pada masa hadapan.


Sumber - Era Baru

No comments