Suami Pukul Isteri Sehingga Meninggal Dunia


TAIPING 14 Jan. – Gara-gara cemburu kerana disyaki mempunyai hubungan rapat dengan lelaki lain, seorang ibu kepada empat anak maut akibat cede­ra dipukul suaminya dalam kejadian di kediaman mereka di Matang pada malam Khamis lalu.


Mangsa, Noor Waheedah Abd. Wahid, 38, yang merupakan seorang suri rumah, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada pukul 9.30 malam tadi akibat pendarahan dalam otak. Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, suami mangsa yang berusia 40 tahun dan bekerja sebagai seorang buruh ditahan selepas tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Sepetang pada pukul 9.15 pagi kelmarin.


Menurut beliau, suami mang­sa memaklumkan dia memukul isterinya sehingga cedera dan tidak sedarkan diri sebelum menghantarnya ke Hospital Taiping dengan menggunakan ambulans. Tambahnya, hasil bedah siasat yang dilakukan pagi ini pula mendapati punca kematian adalah di­sebabkan kecedera­an di kepala akibat trauma tumpul.


“Kes ini pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Ke­seksaan. Suspek telah direman selama tiga hari sehingga esok. “Bagaimanapun reman suspek akan disambung esok untuk siasatan lanjut ekoran kes telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Kesek­saan kerana membunuh,” katanya di sini hari ini.


Sumber : Utusan

No comments