Mayat sangkut akar

Batu Pahat: “Suami saya tiba-tiba banyak bertanya ketika kali terakhir saya berbual dengannya, selalunya dia bukan begitu,” kata Arbakyah Jelani, 68, isteri Syukri Masran@Maseran, 72, yang ditemui lemas selepas dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Parit Lapis Bangas Laut, Sri Medan di sini, kelmarin.


Mayat Syukri ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tersangkut pada akar pokok di dasar sungai pada jam 3.52 petang semalam apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing.


Arbakyah berkata, suaminya sering memancing di sungai berkenaan pada setiap petang dan kebiasaannya akan pulang ke rumah pada jam 6.30 petang untuk bersiap-siap bagi menunaikan solat Maghrib di surau berhampiran.


Bagaimanapun, katanya, dia mulai bimbang apabila suaminya masih tidak pulang ke rumah pada jam 8 malam kelmarin selepas turun ke sungai itu.


“Saya menyuruh anak lelaki mencarinya (suami) di sungai, tetapi hanya menemui kotak rokok, pancing yang masih ada umpan dan motosikal saja, tetapi kelibat suami tidak kelihatan.


“Paling saya risau dia tidak makan ubat darah tinggi dan selalu kejang otot,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.


Rakan mangsa, Abdul Rasid Bakri, 58, berkata, dia mengesyaki rakannya terjatuh sebelum dibawa arus sungai ketika mahu mengambil botnya.


“Dia pandai berenang dan memang setiap petang dia akan keluar memancing di lokasi yang menjadi tumpuan penduduk.


“Saya mendapat panggilan daripada rakan memberitahu Wak Syukri hilang di sungai dan sejak malam tadi (kelmarin), penduduk mencarinya termasuk mencari di tebing sungai,” katanya.


Sementara itu, suasana hiba menyelubungi pos operasi SAR apabila Arbakyah tidak dapat menahan kesedihan sebelum ditenangkan orang ramai termasuk Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad yang turut hadir ke lokasi.


Dalam pada itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Ibnul Kassim Ahmad dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng berkata, mayat mangsa dijumpai tersangkut pada akar pokok di dasar sungai oleh pasukan skuba 200 meter dari lokasi dilaporkan terjatuh.


“Mayat dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI),” katanya.


Sumber : HMetro


No comments