Mama, Cepatlah Sedar - Rintih Anak Mangsa Ragut
KOTA BHARU 15 Jan. - Enam hari sudah berlalu namun mangsa ragut, Maria Erianty Zakaria, 40, yang koma dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia HUSM), Kubang Kerian selepas terjatuh motosikal masih terlantar dan belum sedarkan diri.
Suaminya, Mohd. Zairie Mohamad Zain, 48, mungkin nampak tenang berdepan musibah itu namun tiada siapa tahu, dia hanya mampu menangis dalam hati setiap kali empat anaknya bertanyakan keadaan ibu mereka. "Walaupun keadaan kesihatan isteri saya stabil, setakat hari ini masih tiada perkembangan positif. Doktor sendiri tidak dapat menjangkakan bila dia akan sedar. Kami sekeluarga hanya mampu berdoa dan bersabar.
"Anak-anak sering bertanya keadaan ibu mereka, terutama anak bongsu yang berusia 10 tahun. Dia rindu mahu mendengar suara mamanya. Setiap hari dia minta mamanya supaya cepat sedar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang Rabu lalu, Maria Erianty yang menunggang motosikal bersendirian diragut dua beradik di Kampung Sri Rabana, Machang.
Wanita itu nekad mengejar penjenayah tersebut namun mereka menghimpit motosikalnya menyebabkan dia terjatuh dan cedera parah di kepala. Mangsa terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala dan koma sehingga sekarang. Sementara itu, musibah yang menimpa Maria Erianty turut mendapat perhatian Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (Penawar) Kelantan apabila meluangkan masa menziarahi mangsa, semalam.
Rombongan Penawar Kelantan diketuai Yang Dipertuanya yang juga isteri kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah.
Sumber : Utusan
Post a Comment