Gunung Berapi Mayon meletuskan kepulan debu yang membentuk seperti dua manusia berpelukan

Beberapa hari lalu, berlaku satu letusan debu daripada Gunung Berapi Mayon yang terletak di Albay, Filipina. Sementara letusan gunung berapi merupakan satu fenomena semulajadi yang biasa, apa yang mencuri perhatian netizen seluruh dunia adalah apabila terdapat satu pembentukan unik persis seperti dalam cerita dongeng rakyat.


Gambar ini berjaya diambil oleh wartawan gambar bernama Ciriaco Santiago III dan sejak itu, gambar berkenaan terus tersebar secara meluas di internet. Malah, ramai yang turut menyamakan imej pembentukan kepulan debu daripada gunung berapi tersebut seperti kisah dongeng tentang pasangan kekasih bernama Panganoron dan Magayon.


Menurut kisah lagenda Gunung Mayon, dikatakan terdapat seorang wanita bernama Magayon (maksud: cantik) telah melarikan diri bersama kekasihnya yang merupakan seorang panglima bernama Panganoron. Tujuan mereka melarikan diri adalah kerana Magayon tidak mahu dijodohkan dengan bukan pilihan hatinya iaitu Pagtuga.


Semasa kedua-dua pasangan kekasih ini melarikan diri, secara tiba-tiba sebuah panah beracun telah melayang dan menusuk Magayon. Kemudian, apabila Panganoron melutut kesedihan meratapi kematian Magayon, seseorang telah menikamnya dari belakang sekali gus menyebabkan kedua-duanya mati di tempat kejadian.


Dalam kisah tersebut menyatakan bahawa beberapa tahun selepas kematian mereka, bapa Magayon mengambil keputusan untuk menanam mayat Magayon dan Panganoron bersama.


Setelah sekian lama, tanah yang menjadi tempat perkuburan pasangan ini mula meninggi dan membentuk seperti sebuah gunung berapi.


Masyarakat tempatan mempercayai bahawa apabila gunung berapi tersebut mengeluarkan debunya, ia membawa maksud Pagtuga sedang mengganggu Magayon. Ada juga segelintir yang menganggap ketika gunung berapi tersebut tenang, ia bermakna Panganoron sedang memeluk Magayon.


Gambar yang berjaya diambil oleh Santiago menjadi tular setelah ianya dibandingkan dan diletakkan bersebelahan dengan lukisan oleh Kerby Rosanes. Lukisan berkenaan telah digubah bagi memfokuskan kepada perkaitannya dengan mitos pembentukan Gunung Berapi Mayon.


Di samping itu, terdapat juga sebilangan netizen yang mendakwa kewujudan pasangan dongeng ini boleh dilihat daripada pengaliran lava gunung berapi seperti dalam video di bawah.


Sejak seminggu yang lalu, lebih daripada 15,000 penduduk sekitar terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih selamat memandangkan Gunung Berapi Mayon ini dijangka akan meletus dalam masa terdekat.


Kali terakhir gunung berapi ini meletus adalah pada tahun 2014.


Tonton video di bawah:


Sumber : NEXTSHARK


No comments