Gadis Comel, Mahyuni Tolak Tawaran Jadi Model Untuk Jadi 'Guard'


KUALA LUMPUR 14 Jan. – Walaupun menerima tawaran dalam bidang peragaan dan jaminan kehidupan mewah serta glamor, gadis cantik yang pernah tular di media sosial kerana bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di sini, lebih selesa dengan kerjaya yang ada. Bagi Sri Mahyuni Munif, 19, persekitaran yang dikelilingi kanak-kanak membuatkan jiwanya tenang dan tidak berhasrat menukar kerjaya.


“Mula-mula terima tawaran tersebut saya terkejut tetapi apabila difikirkan semula, saya lebih selesa dan ‘jatuh cinta’ dengan kerjaya di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. Katanya yang sudah dua tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan, tawaran menjadi model diterima selepas didata­ngi dua lelaki yang mengaku wakil agensi peragaan dan bersedia memberinya latihan sebelum terlibat dalam dunia berkenaan.



Anak sulung daripada dua beradik itu menjadi perhatian selepas berkongsi beberapa ke­ping gambarnya yang lengkap berpakaian seragam pengawal keselamatan berserta kapsyen ucapan tahun baharu. Malah dia yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Gurney 1 dan 2 itu memberitahu, pernah dipanggil oleh guru besar sekolah berkenaan gara-gara kisahnya menjadi tular tetapi kata-kata semangat ketuanya membuatkan dia semakin ‘cinta’ dengan kerjaya tersebut.


Katanya, sejak dari itu ramai yang datang ke sekolah untuk berkenalan dan ada juga yang memberikan bunga selain hadiah sebagai tanda perkenalan serta menawarkan pelbagai kerja lain. Bagaimanapun ujar gadis ini, dia tidak pernah berasa malu dengan kerjaya yang dipilih selagi pekerjaan yang dilakukan halal dan boleh membantu menanggung perbelanjaan keluarga.


Menurut Sri Mahyuni, sebelum ini dia melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi juruwang di sebuah pasar raya berhampiran rumahnya selepas berhenti sekolah ketika berada di tingkatan dua berikutan ayahnya yang sakit dan tidak berdaya untuk menyara keluarga.



“Sebelum ini ayah saya seorang buruh binaan tetapi kerana masalah penyakit tulang yang dialami dan tidak mampu bekerja, saya ambil tanggungjawab itu dengan berhenti sekolah demi menyara keluarga,” ujarnya Akuinya dengan gaji sebanyak RM1,400 sebulan, dia boleh membayar sewa rumah yang didiami keluarganya di Ampang selain menyediakan perbelanjaan dapur di samping pendapatan ibunya yang bekerja di tempat lain.


Sumber : Utusan

No comments