Farid Kamil Luah Rasa Rindu Kepada Keluarga


PETALING JAYA 16 Jan. - Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil meluahkan rasa rindu terhadap dua orang anaknya Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3 serta mengucapkan kata cinta kepada isteri, Datin Diana Danielle yang hadir di Mahkamah Petaling Jaya di sini hari ini.


Farid, 37, yang ditemui ketika hadir di Mahkamah Petaling Jaya, di sini turut memberitahu dia dalam keadaan baik. “Alhamduillah, saya baik sahaja. Saya rindu anak-anak. Saya sayang Diana. “Saya memang harap Diana dan seluruh keluarga datang pada hari ini,” kata Farid ringkas.


Terdahulu pelakon filem Tombiruo ini telah menjalani tempoh reman selama empat hari bermula Jumaat lalu dan berakhir pada Isnin namun disambung sehari sehingga Selasa.


Empat kes dihadapi Farid ialah mendatangkan kecederaan yang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, menampar polis disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, penggunaan dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mengganggu tugas penjawat awam disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.


Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya; Seksyen 90 Akta Polis 1967 membawa hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya; Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 353 memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda.


Sumber : Utusan

No comments