Dakwaan laluan biru di KL bahayakan keselamatan, DBKL terpaksa buka semula ‘pemisah laluan basikal’

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, kita dapat lihat kewujudan laluan khas yang dicat dengan warna biru terang di jalan raya sekitar Kuala Lumpur bertujuan untuk memudahkan pergerakan pengguna basikal di sekitar ibu kota.


Menurut laporan Berita Harian, projek ini merupakan projek yang dikendalikan di bawah DBKL sebagai salah satu usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar hijau terbaik di dunia.


Peringkat pertama projek ini melibatkan pembinaan laluan berkenaan sepanjang 11.9 km dari ibu pejabat DBKL di Jalan Raja Laut menuju ke Jalan Sultan Ismail sehingga ke KLCC. Laluan biru khas ini kemudian menghala semula ke Jalan Sultan Ismail melalui Medan Pasar dan Dataran Merdeka.


Namun begitu, pemasangan pembahagi jalan yang bertujuan untuk memisahkan laluan basikal serta laluan kenderaan ini dikatakan boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain terutamanya penunggang motosikal.


Beberapa hari lalu, tular gambar-gambar yang menunjukkan seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan akibat kemalangan setelah dia tanpa sengaja telah melanggar pemisah laluan (rubber separator) berkenaan.


Insiden ini dipercayai berlaku di sekitar Jalan Sultan Ismail berdekatan persimpangan di pusat beli-belah Parkson Maju Junction.


Bukan sahaja itu, ramai juga yang meluahkan kebimbangan masing-masing mengenai kualiti cat biru yang digunakan untuk menandakan keseluruhan laluan tersebut.


Pengguna jalan raya mendakwa cat tersebut telah menyebabkan laluan berkenaan menjadi terlalu licin khususnya apabila waktu hujan.


Berikutan itu, pihak DBKL mengambil tindakan segera untuk membuka semula pemisah laluan tersebut pada 22 Januari.


Menurut Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah, langkah segera terpaksa diambil setelah dilaporkan pemasangan alat berkenaan mampu membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.


“DBKL akan mengkaji semula perkara tersebut apatah lagi terdapat bantahan daripada pengguna jalan raya. Kami akan cari jalan penyelesaian terbaik untuk kesejahteraan warga kota secara keseluruhannya”.


Tambah beliau, pemasangan ‘rubber separator’ tersebut adalah mengikut piawaian antarabangsa yang diguna pakai di negara-negara lain. Bagaimanapun, pihaknya sedang mengkaji tentang perkara tersebut dan akan membuat pertimbangan sama ada ingin menggantikannya dengan ‘flexible barrier’ .


Firma-firma yang terlibat dengan inisiatif laluan basikal kini sedang mengadakan mesyuarat dalam usaha untuk membincangkan kaedah tertentu bagi menangani isu berkenaan dengan segera. Antara yang hadir bermesyuarat adalah perunding jurutera trafik, kontraktor, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) motosikal.


Namun, sekiranya fasa pertama pembinaan laluan khas ini berjaya, pihak DBKL akan memperluaskan projek ini ke kawasan lain sehingga ke Wangsa Maju dan sekitar Kuala Lumpur.


Sumber: Utusan Online dan MyMetro


No comments