BMW C 400 X - Gaya Baharu Skuter Urban Yang Menyeronokkan


BMW Motorrad tidak berpaling lagi dalam menghasilkan model-model kompak atau asas yang lebih mampu milik. Selepas kejayaan C 600 Sport dan C 650 GT, pengeluar dari Jerman itu memperkenalkan pula skuter era baharu, C 400 X bersesaran 350cc.



Skuter terbaharu BMW itu direka lebih daripada sekadar mengambil kira aspek praktikaliti tunggangan harian dalam bandar. C 400 X menurut BMW, ialah skuter mesra pengguna menyeronokkan, dan tangkas yang tiada pada motosikal konvensional lain.



Antaranya adalah melengkapkan skuter itu dengan komponen premium dan ciri keselamatan moden seperti Kawalan Stabiliti Automatik (ASC), dan brek cakera kembar depan berprestasi tinggi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS). 



C 400 X dikuasa enjin silinder-tunggal 350cc dengan suntikan bahan api elektronik berkuasa 34hp pada 7,500rpm dan tork 34.9Nm (6,000rpm) yang dipadukan transmisi variabel berterusan (CVT). Menyokong unit enjin ialah frem besi tubular yang ditampung set fork teleskopik di depan dan strut spring-dual di belakang.



Ciri istimewa lain dimilik C 400 X ialah kilasan lengan ayun trenpacu yang tegar dengan efek getaran minimum. Sama seperti jentera dua roda BMW lain, C 400 X direka cukup cantik yang memang sinonim dengan kenderaan buatan Jerman.



Ruang simpanan mencukupi, lampu LED penuh, paparan TFT 6.5" multifungsi berwarna, dan pelbagai ciri moden lain lagi. Dari segi penampulan, C 400 X memang cukup menawan yang didatangkan istimewa dengan warna kemasan premium - Zenith Blue Metallic atau Alpine White.



Sumber: pandulaju

No comments