Lelaki Jepun Ditahan Selepas Polis Jumpa Keratan Tubuh 9 Mayat Di Rumahnya

Para petugas media mengerumuni lokasi apartmen yang menyimpan keratan mayat di Zama, hari ini. - Reuters

TOKYO: Seorang lelaki Jepun ditahan pada Selasa selepas polis menjumpai keratan bahagian tubuh daripada sembilan mayat berbeza di kediaman apartmennya.

Semua keratan anggota tubuh itu disimpan dalam bekas penyejuk seperti yang digunakan untuk membawa barangan perkelahan, lapor Reuters yang memetik media Jepun.

Penemuan yang menggemparkan di kota Zama, yang terletak di pinggir metropolis Tokyo, itu adalah susulan siasatan kehilangan seorang wanita berusia 23 tahun awal bulan ini.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), wanita itu kali terakhir dilihat berjalan bersama seorang lelaki berdekatan apartmen berkenaan.

Portal berita Japan Times melaporkan, wanita berkenaan dipercayai menemui lelaki itu selepas menghantar 'nota' untuk membunuh diri di sebuah laman Internet.

Dalam apartmen tersebut, beberapa bekas penyejuk dijumpai dengan setiap satunya mengandungi keratan bahagian tubuh.

Seorang lelaki Takahiro Shiraishi, 27, ditahan kerana menjadi suspek utama dalam kes berkenaan.

Seorang pegawai polis memberitahu, Shiraishi sewaktu ditahan mengakui: "Ya, benar. Saya cuba untuk menyembunyikan mayat-mayat itu untuk melupuskan bukti."

Jurucakap Agensi Polis Kebangsaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut. - Awani

No comments